Masih ada sekolah larang murid kantin


PETALING JAYA: Terdapat beberapa sekolah yang masih tidak membenarkan para pelajar untuk turun membeli dan makan di kantin meskipun Kementerian Pendidikan sudah memberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP), bulan lepas.

Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md. Desa berkata, ketidaksediaan beberapa sekolah itu sedikit sebanyak menyukarkan pengusaha kantin, sedangkan kelonggaran sudah diberi pihak kementerian.

Justeru, katanya, PPSKM tidak teragak-agak untuk merujuk perkara itu kepada kementerian sekiranya ia berlarutan.

"Masih ada lagi sekolah yang tak benarkan pelajar untuk turun ke kantin, maka, makanan masih lagi perlu dihantar seperti sebelum ini.

"Sepatutnya perkara itu tidak berlaku apabila ia sudah diberi kelonggaran, tetapi saya teliti maklumat dan tengok berapa lama (ketidaksediaan itu).

"Kalau ambil masa kita bagi nasihat supaya ikut arahan baharu dan mungkin akan buat perbincangan dengan kementerian, jadi pihak sekolah jangan masih lagi takut-takut (untuk benarkan pelajar makan di kantin)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

28 April lepas, media melaporkan, pengoperasian sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia kembali normal seperti sebelum pandemik Covid-19 bermula 1 Mei lepas.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira kelonggaran SOP berkaitan Covid-19 berkuat kuasa 1 Mei, sepertimana diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, dua SOP masih lagi berkuat kuasa iaitu pemakaian pelitup muka di dalam bilik darjah dan ruang tertutup serta pengurusan murid yang bergejala.

Mengulas lanjut, Siti Normah berkata, selain kedegilan beberapa sekolah, kebanyakan pengusaha kantin juga berdepan masalah kekurangan pekerja yang sangat kritikal.

Katanya, ini kerana pengoperasian sepenuhnya menyebabkan pengusaha kantin memerlukan pekerja dengan sangat mendesak berbanding sebelum kelonggaran itu, namun, tidak mendapat sambutan rakyat tempatan terutamanya orang muda.Malah, ujarnya, pengusaha kantin juga sanggup menawarkan gaji yang tinggi sehingga RM120 sehari bagi mengisi keperluan pekerja, namun, masih tak ada yang berminat lagi.

"Isu kekurangan pekerja sangat kritikal dan kalau ikutkan hampir 70 peratus pengusaha kantin seluruh Malaysia ada masalah kekurangan pekerja," katanya.

Justeru, pihaknya mengharapkan kementerian dapat membantu untuk kantin beroperasi dengan baik kerana tanpa pekerja, pengendalian pengurusan kantin berjalan dengan tidak sistematik dan tidak lancar.

"Kalau dapat (kebenaran untuk mengambil) pekerja asing pun bagus juga seperti pekerja Indonesia. Kita boleh bagi latihan dan kursus seperti mana yang kita beri kepada pekerja tempatan, serta bukan hanya semberono, it should be okay.

"Apabila pekerja tak ada, saya risau kualiti makanan terjejas kerana makanan perlu disediakan mengikut masa yang ditetapkan.

 

Previous Post Next Post