![]() |
Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah, berkata pihaknya akan mengambil tindakan dan siasatan sepenuhnya supaya kes buli tidak menjadi budaya di sekolah. (Gambar fail) |
PETALING JAYA: Seorang pelajar Tingkatan 5 cedera dipercayai dibelasah sekumpulan rakan sekolahnya di Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari, mangsa berusia 17 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ringan di pipi dan kaki kanan.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa yang mengangkat meja masuk ke kelas dihalang laluan oleh sekumpulan pelajar terbabit, ketika itu sedang bergambar.
Katanya, mangsa bertindak melanggar sekumpulan pelajar terbabit dengan meja yang dibawa selepas permintaan untuk diberikan laluan tidak diendahkan mereka.
“Mangsa dikatakan menjerit meminta laluan kepada kumpulan pelajar terbabit, namun tidak dipedulikan.
“Mangsa kemudian menjerit ‘tepi-tepi’ beberapa kali sebelum melanggar sekumpulan pelajar terbabit menggunakan meja yang diangkat,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Zaidi berkata, susulan itu seorang pelajar terus menolak mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mangsa dengan kumpulan pelajar terbabit.
Kejadian itu disedari oleh seorang guru yang menghentikan pergaduhan.
“Sekolah kemudian menghubungi ahli keluarga mangsa untuk memaklumkan kejadian sebelum ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Sementara itu, Zaidi berkata, mengikut laporan perubatan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan pihaknya sudah menahan tiga daripada enam pelajar disyaki terbabit.
Berikutan itu, enam pelajar yang memukul mangsa telah dikenal pasti, seorang ditahan semalam dan dua lagi ditahan hari ini, manakala selebihnya masih bebas dan sedang dikesan.
“Seorang pelajar ditahan reman selama empat hari dan dua lagi akan diambil tindakan sama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.
Zaidi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dan siasatan sepenuhnya supaya kes buli tidak menjadi budaya di sekolah.