Labur RM6,999 upah perunding imej, hasil macam ‘cikgu sekolah’

Tangkap layar imej baharu seorang pelanggan setelah mendapatkan khidmat perunding imej yang menjadi bualan hangat pengguna media sosial


PETALING JAYA – Tidak dinafikan, sesetengah individu sanggup mengupah perunding imej bagi mendapatkan khidmat profesional dalam berfesyen.

Baru-baru ini tular di media sosial, rakaman TikTok seorang perunding imej memaklumkan seorang pelanggannya yang juga pemilik sebuah chalet telah meminta untuk ditransformasikan gayanya agar kelihatan lebih berkeyakinan.

“Seorang pemilik chalet terasa selekeh, disangka tukang kebun dan tidak pandai bergaya.

“Tempah slot anda sekarang dengan hanya RM6,999,” katanya.

Namun, perkongsinya itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dan rata-ratanya mempersoalkan hasil gaya tersebut yang dikatakan seperti ‘cikgu sekolah’.

Selain itu, mereka juga beranggapan bayaran upah yang dikenakan sebanyak RM6,999 itu adalah tidak masuk akal dan seolah-olah sengaja mengambil kesempatan.

“Gila la upah hampir RM7,000 nampak macam cikgu disiplin sekolah aku, memang kaut untung betul, kesian orang itu datang untuk dapatkan khidmat yang membantu, tapi kalau hasil setakat macam itu, cari di ‘google’ pun boleh,” komen seorang pengguna.

“Kalau sebelum ini orang kata pemilik chalet ini macam tukang kebun, lepas ubah suai gaya ini, aku rasa hanya naik satu taraf jadi penyelia tukang kebun, tak berbaloi dengan harga upah perunding imej,” ujar Marzuki.

“Perunding imej pun macam tak ada ilmu fesyen, gaya dia dah macam ada dekat planet lain, tak kena langsung,” seloroh pengguna lain. – KOSMO! ONLINE.

 

Previous Post Next Post