KUSKOP, KPM bincang naik taraf koperasi sekolah

Noh menandatangani plak perasmian Koperasi SMK Seri Desa pada Mesyuarat Agung PIBG, SMK Seri Desa pada Sabtu.


TANJONG KARANG - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menaik taraf koperasi sekolah sebagai Coopmart bagi menjalankan fungsi menjual barang keperluan kepada orang awam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, perbincangan itu meliputi dari segi peraturan dan kebenaran serta keselamatan jika orang ramai memasuki sekolah untuk berurusan jual beli.

Menurutnya, koperasi sekolah dilihat sebagai platform yang strategik bagi membolehkan orang ramai membeli barang pada harga jauh lebih murah.

"Kita menawarkan mana-mana sekolah yang berminat dan bersedia untuk menjual barangan pada harga murah boleh menjalankan fungsi yang dimainkan Coopmart pada masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Desa di sini pada Sabtu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, dengan ruang perniagaan yang lebih meluas, beliau percaya langkah itu dapat menjadikan koperasi lebih kukuh sekali gus dapat mempelbagaikan perniagaan kepada warga sekolah serta komuniti.

"Koperasi sekolah tidak hanya dibuka kepada guru, pelajar dan kakitangan sahaja, sebaliknya dibuka untuk orang kampung mendapatkan barangan dengan harga lebih murah.

"Semua barang koperasi sekolah akan dibekalkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menerusi Program Barang Asas 100 (BA100)," ujarnya.

Selain itu, Noh berkata, terdapat banyak manfaat sekiranya sekolah menyertai Coopmart termasuk mendapatkan subsidi bagi memulakan peruncitan.

"Setiap tahun kita turut memberikan subsidi dan ini dapat membantu koperasi terus berkembang sekali gus menambah nilai jualan barangan runcit dengan pembelian menjimatkan," jelasnya.
Previous Post Next Post