Rakan-rakan setugas sering memberikan kata-kata semangat kepada Abdullah (tengah) |
PASIR MAS - Tangan kanan cikgu mana? Itu antara persoalan yang sering dilontarkan oleh murid-murid setiap kali mengikuti kelas kendalian Abdullah Abdul Kadir, 28.
Tidak sampai setahun bergelar pendidik, hidup Abdullah berubah secara total apabila hilang tangan kanan selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya pada Mac 2018.
Tidak cukup dengan itu, anak kedua daripada lapan beradik tersebut turut ‘hilang’ semangat untuk menabur bakti sebagai guru susulan ujian yang diberikan oleh Maha Kuasa kerana tangan kanan merupakan salah satu nadi utama Abdullah dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik.
Abdullah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 26 Mac 2018 ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur selepas cuti penggal persekolahan. |
Abdullah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 26 Mac 2018 ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur selepas cuti penggal persekolahan.
“Saya hampir berputus asa sehingga terfikir untuk meletakkan jawatan sebagai guru, hampir setiap hari menangis mengenangkan nasib yang menimpa,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, selepas bergelar orang kurang upaya (OKU) beliau membuat permohonan untuk bertukar tempat mengajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, Kuala Lumpur ke Kelantan.
Katanya, pertukaran itu dilakukan bagi meneruskan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selain mahu mendapatkan sokongan serta semangat daripada keluarga.
Abdullah (kiri) bersama salah seorang anak didiknya di SK Tok Uban. Abdullah berkata, semangat itu menjadi azimat buatnya dalam meneruskan kehidupan sebagai OKU. |
Beliau berkata, setelah hampir setahun menjalani rawatan terapi di HRPZ II akhirnya sudah tidak kekok meneruskan tugasan hakiki dengan tangan kiri.
Menurutnya, selepas mendapat keyakinan menggunakan tangan kiri beliau kembali ke sekolah dengan keazaman yang tinggi untuk menjadi seorang pendidik.
Lebih membanggakan tulisan tangan Abdullah sudah semakin cantik dan bertambah baik walaupun menggunakan tangan kiri. |