Kolam renang perlu dibina di setiap sekolah


MALAYSIA menduduki tangga keenam pada Sukan SEA Vietnam 2021 dengan mengumpul 39 pingat emas di bawah Singapura, Filipina dan Indonesia. Ini antara persembahan terburuk dalam sejarah semenjak menduduki tangga yang sama pada edisi 1983.

Bagi saya, walaupun kutipan pingat melepasi sasaran iaitu 36 pingat, tetapi imej kita telah jatuh kerana berada di belakang Filipina dan Singapura yang kini merupakan pencabar terdekat negara.

Pada pandangan saya perancangan jangka pendek dan panjang perlu untuk melahirkan atlet bermula di bangku sekolah lagi. Mungkin untuk edisi berikutnya, kita boleh menghantar atlet pelapis lebih muda dan bertenaga.

Untuk mendapat bakat baharu tiada masalah kerana kita ada kemudahan sukan yang bertaraf dunia. Cuma gilap dan asah bakat di bangku sekolah seperti menyediakan kolam renang di setiap sekolah bukan di sekolah sukan sahaja.

Seterusnya, peranan pemimpin belia ditagih untuk mencari dan menggilap bakal atlet di negeri masing-masing supaya bakat baharu ini boleh diketengahkan melalui persatuan sukan di peringkat kampung, daerah dan negeri untuk pertandingan di peringkat Sukan Malaysia (Sukma).

Pemimpin belia negeri juga disarankan supaya memastikan program sukan berjalan dengan aktif dan pada masa sama menyalurkan dana dan membina kemudahan sukan yang diperlukan.

Tiada gunanya dewan sukan dan padang bola sepak dibiarkan rosak dan ditumbuhi lalang tanpa dimanfaatkan untuk melahirkan atlet dan jaguh sukan yang hebat serta bertaraf dunia.

Kita ada sekolah sukan dan sekolah bola sepak tetapi sejauh mana kita telah memanfaatkannya untuk mencari dan mengasah bakat calon yang bakal membawa imej negara ke sukan peringkat Asia, Komanwel dan Olimpik.

Begitu juga pemilihan jurulatih, pilihlah jurulatih yang bertaraf dunia dan jangan pilih jaguh kampung dan hanya memenuhi jadual latihan atlet sahaja.

 

Previous Post Next Post