Kes pukul di sekolah: 13 pelajar dibebas dengan jaminan polis

Sebanyak 13 pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi yang ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata semua rakaman percakapan telahpun diambil dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Kesemua yang ditangkap diberi jaminan polis," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Semalam, media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun dipercayai dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video.

Kejadian pada 9 pagi kelmarin itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain yang mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi semalam.

Kemudian, polis menahan 13 pelajar tingkatan empat terbabit dengan masing-masing 12 pelajar ditahan pada 12.30 tengah hari manakala seorang lagi ditahan 3 petang semalam.

- Bernama
Previous Post Next Post