Imej hiasan |
Hari Guru yang disambut pada 16 Mei merupakan hari golongan tenaga pengajar mendapat limpahan penghargaan daripada anak murid di atas jasa yang disumbangkan untuk mencorak masa depan negara.
Tetapi adakah nasib mereka yang berkhidmat dalam lapangan ini mendapat perhatian yang sewajarnya atau tidak, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Wang Heng Suan, menceritakan perspektif tersebut dari sudut seorang guru.
Menurutnya, guru kerap mengambil inisiatif sendiri untuk melancarkan proses mengajar murid dan perkara ini dapat dilihat dengan jelas ketika Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dijalankan.
“Guru tidak pernah diberi apa-apa walau sebatang pen pun. Tak macam penjawat awam di kementerian lain, mereka dibekalkan laptop, desktop dan sebagainya. Cikgu tak dapat semua itu, mereka beli sendiri.
“Waktu PdPR dulu, ada laptop guru yang tidak mampu untuk menyokong aplikasi Zoom, mereka sendiri curi-curi masa pergi ke kedai IT dan tengok apa yang boleh dibuat.
“Dulu kerajaan ada luluskan permohonan subsidi RM 1,000 untuk guru beli laptop, tetapi sampai itu sahaja, tiada agihan dibuat kepada guru yang memerlukan.
“Di sekolah, (skrin paparan) LCD mungkin ada dalam dua atau tiga macam itu tetapi yang nak pakainya ramai, berebut.
Jadi cikgu pun dah penat, mereka pilih untuk beli sendiri sahaja,” katanya.
Tugas perkeranian
Menurutnya lagi, ramai di kalangan guru senior yang memilih untuk bersara awal adalah kerana tidak boleh menerima melakukan tugasan di luar skop secara berulang-ulang sehingga menyebabkan mereka hilang minat untuk mengajar.
“Isu tugasan perkeranian ini sudah lama kita bangkitkan tetapi tidak ada penyelesaian muktamad. Sangat merumitkan dan membebankan kerana guru ada banyak lagi perkara hendak difokuskan.
“Misalnya, data senarai murid yang dapat gred A dan yang ‘lemah’ dalam peperiksaan, maklumat seperti ini diminta berkali-kali oleh jabatan yang berbeza.
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) minta, guru hantar, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) minta, guru hantar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) minta, guru hantar.
“Tugas perkeranian ini kita duduk ulang-ulang. Membazir tenaga. Cikgu dibayar gaji untuk mengajar dan cikgu sepatutnya fokuskan kepada itu sahaja. Benda-benda mengarut macam kerja masukkan data dalam sistem ini hentikanlah,” katanya.
Pembantu guru
Selain itu, Wang Heng menyatakan pernah ada percubaan mewujudkan jawatan pembantu guru di sekolah pada tahun 2007 hingga 2009 untuk meringankan bebanan tugas perkeranian guru tetapi tidak diteruskan kerana faktor kos.
“Waktu percubaan dulu, setiap aliran akan diletakkan satu pembantu guru. Dalam setiap aliran itu biasanya ada enam sehingga 10 kelas. Kalau di luar negara, seorang pembantu guru untuk setiap kelas.
“Menteri kanan pendidikan sekarang ada cuba melaksanakan kemasukan guru baru berjumlah hampir 15,000 untuk membantu kurangkan beban warga pendidik tetapi selagi isu perkeranian itu sendiri tidak diselesaikan, tak banyak yang akan berubah.
“Bebanan tugas guru yang melampau ini akan menjejaskan kesihatan dan emosi mereka, tidak pelik kenapa ramai yang pilih untuk bersara awal,” katanya.