Guru perlu jadi ikon dalam membentuk keperibadian murid - Radzi


KUALA LUMPUR: Kerjaya guru bukan sekadar tertumpu kepada penyampaian ilmu, tetapi ia mendesak para pendidik menjadi ikon penting dalam membentuk kemenjadian murid dengan keperibadian unggul, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

Beliau berkata peranan mereka sebagai pembimbing penting dalam usaha melahirkan generasi bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti kepada kesejahteraan negara.

"Ini dapat dilaksana melalui penjiwaan, penghayatan dan pembudayaan berterusan elemen nilai murni, kemahiran serta sikap positif yang diterapkan secara semula jadi di sekolah," katanya dalam Perutusan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 Tahun 2022, pada Ahad.

Sambutan Hari Guru disambut 16 Mei setiap tahun.Justeru, Radzi berharap warga pendidik dapat terus meningkatkan usaha dalam membentuk keperibadian murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi bertepatan tema Hari Guru tahun ini iaitu 'Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA'.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat 14 elemen SEJAHTERA terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA, iaitu selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

Katanya, guru dapat menyampaikan penerapan elemen itu melalui pelbagai aktiviti di dalam dan luar sekolah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"Penerapan elemen SEJAHTERA secara semulajadi sejak dari peringkat awal persekolahan tentunya akan dijadikan amalan dalam kehidupan mereka dan seterusnya diwarisi oleh generasi pewaris negara yang berikutnya," katanya.

Tema Hari Guru tahun ini juga menurut Radzi, sangat bertepatan bagi menghargai peranan guru sebagai tunjang penting dalam ekosistem pendidikan untuk menjayakan agenda pembangunan pendidikan negara.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hampir 500,000 guru di seluruh negara atas segala pengorbanan, keringat, komitmen dan dedikasi dalam mendidik serta membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi.

"Akhir kata, semoga guru dan pendidik sekalian terus bersatu hati dan bertekad untuk memartabatkan profesion keguruan demi pendidikan generasi pewaris negara. Ayuh, laksanakan amanah ini dengan jujur, ikhlas dan berintegriti," katanya. - BERNAMA

 

Previous Post Next Post