Guru meninggal dunia selepas mengajar sesi pagi di sekolah

SANDAKAN: Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Sakilan Desa, dekat sini, dilaporkan meninggal dunia di sekolah berkenaan, semalam. 


Dalam kejadian jam 10.50 pagi, pemergian Alipudin Aliasah, 55 tahun, pastinya amat dicemburui kerana bukan sahaja meninggal dunia pada hari Jumaat, namun, beliau juga dikatakan sedang berpuasa sunat Syawal. 

Difahamkan, sebelum kejadian, beliau turut sempat mengajar anak muridnya sepanjang sesi pagi semalam, sebelum dilaporkan meninggal dunia di sekolah terbabit. 

Berikutan itu, gambar rakan guru itu membacakan Yassin ketika menunggu ketibaan pasukan polis di sekolah terbabit, turut tular di media sosial. 

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Sandakan, Dr Dalmansah Tahil ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. 

Setakat ini, katanya, punca sebenar kejadian belum diketahui. 

"Beliau sudah mengajar lebih 30 tahun dan lahir pada tahun 1967 dan Allahyarham Alipudin mengajar subjek antaranya Bahasa Malaysia dan Sains. 

"Beliau seorang yang berdedikasi dalam bertugas dan saya berharap ahli keluarga beliau tabah menghadapi situasi ini. 

"Kita doakan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.
Previous Post Next Post