SEREMBAN, 11 Mei (Bernama) — Dua beradik yang dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari asrama secara sembunyi di sebuah sekolah di Senawang di sini sejak semalam, ditemukan selamat di rumah keluarganya di Guar Chempedak, Kedah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata ibu kepada pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun itu mengesahkan bahawa anaknya selamat tiba di rumah mereka pada 11.30 malam.
“Ibu kepada dua pelajar berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis Sarang Semut, Kedah bagi memaklumkan situasi anaknya.
“Dua beradik itu balik ke rumah keluarganya dengan menaiki teksi hingga Ipoh, Perak. Kemudian mereka menaiki bas ke Guar Chempedak, Kedah dan selamat tiba di rumah pada malam tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan polis sedang mengesan dua beradik itu yang kehilangan mereka dilaporkan gurunya setelah menyedari mereka tidak hadir solat subuh kira-kira pukul 6 pagi.
Sumber: BERNAMA