NORJILAWATI Mohd. Amin memberikan penerangan kepada muridnya ketika di SMK Setia Alam, di Shah Alam, Selangor. |
SHAH ALAM: Nadi utama profesion perguruan adalah ilmu dan guru menjadi ejen penting dalam menyampaikannya dengan penuh tanggungjawab, ikhlas serta jujur.
Namun, di sebalik semua itu, tersirat onak liku dan pengorbanan yang diharungi golongan pendidik sama ada di kawasan bandar atau pedalaman luar bandar.
Bagi guru Sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setia Alam, Norjilawati Mohd. Amin, 36, agenda utama pendidikan adalah perubahan dan transformasi diri individu daripada satu tahap ke tahap berikutnya.
Kata guru Opsyen Pendidikan Moral itu, cabaran sebenar seorang guru adalah bagaimana cara memanusiakan manusia atau membina insan ketika era kegawatan dan kemusnahan nilai moral, akhlak serta adab.
“Isu dalam profesion ini turut dikaitkan dengan pendekatan dan kaedah pengajaran guru. Jadi, bagaimanakah insan itu dapat dibangunkan sekiranya penyampaiannya tidak menarik perhatian orang yang hendak dibangunkan,” katanya.
Jelas Norjilawati, guru tidak berkesempatan menerapkan nilai murni dalam setiap pengajarannya.
“Hasilnya, kami terpaksa menghabiskan isi kandungan mata pelajaran kerana bimbang pelajar tidak mampu menjawab sekiranya tajuk yang tidak diselesaikan akan keluar dalam peperiksaan.
“Perubahan dan transformasi ini tidak akan terlaksana tanpa melibatkan pembangunan insan yang perlu direncanakan mengikut acuan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK),” katanya yang berpengalaman mengajar selama 12 tahun.
Tambah beliau, kerangka dan konsep FPK sudah cukup unik dan lengkap bagi melahirkan insan yang seimbang.
“Menerusi pengenalan konsep Sekolahku Sejahtera, saya berharap ia memperkukuhkan lagi usaha melahirkan insan yang seimbang. Bagi konteks pendidikan, peranan guru amat penting dalam membentuk kemenjadian murid ke arah generasi yang hebat sama ada di bandar mahu pun luar bandar,” katanya. – UTUSAN