Bekas guru bimbang trend guru bersara awal daripada perkhidmatan

OMAR AZMAN Mohamad bimbang dengan trend guru masa kini yang memilih untuk bersara awal. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD

MARAN: Bekas guru pasca merdeka bimbang kecenderungan warga pendidik memohon bersara awal boleh menjejaskan hala tuju pendidikan negara pada abad ke-21.

Rata-rata mereka walaupun sudah lama meninggalkan kerjaya itu sentiasa mengikuti perkembangan bidang pendidikan sekali gus menyarankan Kementerian Pendidikan merangka pelan jangka panjang bagi mengatasi isu guru bersara awal itu secara tuntas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pesara guru yang mengikut pengajian secara pos pada akhir 1958, Omar Azman Mohamad, 82, mengakui berasa bimbang apabila dianggarkan lebih 10,000 guru menghantar permohonan untuk bersara awal pada setiap tahun.

Katanya, berdasarkan laporan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), jumlah permohonan bersara awal yang menyamai kadar guru bersara wajib boleh ‘melumpuhkan’ sistem pendidikan negara sekiranya tidak diatasi.

Dia hairan situasi tersebut berlaku zaman moden ini kerana selaku guru veteran era awal merdeka hingga 1980-an yang serba kekurangan masih mampu berdepan cabaran mendidik anak bangsa.

“Kesukaran mendidik guru lama dengan guru era 1990-an dan alaf baharu jauh berbeza dari segi kemudahan, gaji dan kediaman dengan apa yang dinikmati guru zaman ini.

“Gaji guru veteran tidak setinggi guru zaman ini yang disediakan pelbagai insentif dan kemudahan mengajar menggunakan teknologi canggih.

“Dari segi skala cabaran guru veteran dalam kerja mereka lebih tinggi berbanding cabaran guru zaman teknologi moden semua maklumat di hujung jari,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi bekas guru veteran, Husain Jaafar, 82, pula berharap warga pendidik pada masa sekarang tidak mudah mengalah dengan cabaran pendidikan zaman sekarang.

Menurutnya, kesan guru bersara awal menyebabkan berlaku kelompangan tenaga pengajar bagi mengajar subjek tertentu seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris sekali gus menjejaskan pembelajaran murid.

“Guru veteran ketika berkhidmat sentiasa berpegang kepada semangat jihad mendidik anak bangsa walaupun diri sendiri tidak cukup menyara keluarga.

“Sejarah membuktikan dalam awal tahun 1960-an gaji guru sekitar RM100 sebulan berganding pendapatan penoreh getah lebih lumayan. Kerjaya guru tetap dipertahan,” katanya.

Jelasnya, menjadi guru ketika itu penuh dalam dilema iaitu sama ada meneruskan kerjaya murni itu atau menjadi penoreh getah yang ketika itu pendapatannya lebih tinggi berbanding gaji pendidik.

Husain berkata, guru muda perlu berfikir panjang sebelum mengemukakan permohonan bersara awal hanya kerana tidak mampu bersaing dengan kemajuan teknologi yang dimanfaatkan sepenuhnya dalam sistem pendidikan.

Seorang lagi pesara guru, Abdul Latif Umar, 60, berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu segera mengenal pasti punca keghairahan guru bersara awal ketika ini dan mengatasinya sebelum terlambat.

“Kita tidak mahu ia terus parah seterusnya membarah dan menjejaskan sistem pendidikan negara,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Previous Post Next Post