PELAJAR tingkatan satu yang cedera didakwa akibat dibuli pelajar senior. FOTO ihsan pembaca |
Seremban: Tanpa diketahui punca, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di Sikamat, dekat sini, dipercayai disepak, dipukul dan ditampar pelajar senior sehingga lebam dan menyebabkan tulang pada pergelangan tangan retak.
Difahamkan, remaja berusia 13 tahun berkenaan dipanggil pelajar senior kira-kira jam 12 tengah malam pada 13 Mei lalu ke sebuah bilik di asrama kerana dikatakan membuat masalah.
Bapa pelajar itu, Zainizam Wakimun, 45, berkata, anaknya pada mulanya enggan memaklumkan kejadian itu kepadanya kerana bimbang dibuli lebih teruk namun isteri terus menghubungi pihak sekolah sebaik dimaklumkan mengenai kejadian.
"Anak saya menjadi mangsa buli dan pukul, ketika kejadian dia dipanggil seorang pelajar tingkatan lima yang berlagak seperti ketua yang meminta anak masuk ke salah sebuah bilik di asrama berkenaan.
"Anak kemudian dipukul di badan dan disepak tiga orang pelajar tingkatan empat dan seorang pelajar tingkatan tiga," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zainizam berkata, akibat kejadian itu anaknya mengalami lebam, sakit di bahagian badan, pinggul, tangan dan bahu selain baru saja disahkan mengalami retak di pergelangan tangan.
"Anak menghubungi abangnya keesokan pagi dan menceritakan kejadian itu dalam keadaan menangis, namun meminta supaya tidak memaklumkan kepada saya. Namun abangnya menceritakan kepada isteri sebelum isteri ke sekolah untuk berjumpa pengetua.
"Perjumpaan diadakan bersama pengetua. Isteri menunjukkan kecederaan yang dialami anak dan mereka juga kelihatan terkejut," katanya.
Menurut Zainizam, dia kesal dengan pihak sekolah kerana cuba menutup kejadian itu selain cuba menyelesaikan perkara itu di peringkat sekolah sedangkan anaknya mengalami kecederaan dan trauma.
"Saya menghantar anak ke sekolah berkenaan bagi mengembangkan bakat bola sepaknya kerana sekolah ini mempunyai rekod baik dalam sukan itu selain pencapaian akademiknya juga bagus.
"Namun sekarang anak seolah trauma dan bermati-matian tidak mahu ke sekolah. Pelajar yang mencederakan anak saya masih belum diambil tindakan dan masih meneruskan pembelajaran seperti biasa," katanya.
Zainizam berkata, susulan kejadian itu, dia membuat satu laporan polis di Balai Polis Sikamat pada 13 Mei lalu.