ISU beg sekolah berat dihadapi murid terutama yang berada di tahun satu bukan perkara baharu di negara kita.
Setiap kali sesi persekolahan bermula, isu ini akan hangat dibincangkan dan sering menjadi rungutan dan kebimbangan ibu bapa atau penjaga.
Mana tidaknya, kebanyakan anak-anak ini masih mempunyai tubuh bersaiz kecil dan kudrat tenaga yang terhad.
Perubahan mendadak yang memaksa murid tahun satu membawa bebanan berat setiap hari boleh menjejaskan aspek kesihatan dan emosi mereka.
Rata-rata ibu bapa dan penjaga yang ditanya menyatakan kesan beg sekolah berat ini menyebabkan anak jagaan mereka mengalami sakit belakang, lenguh bahu dan cepat keletihan kerana kehabisan tenaga.
Bahkan ada yang tercedera akibat terjatuh disebabkan berat melampau atau hilang imbangan kerana terpaksa menggunakan tangga disebabkan kelas yang terletak di tingkat atas.
Oleh itu, pengumuman Kementerian Pendidikan baru-baru ini untuk menyediakan lokar di sekolah rendah dilihat ibarat cahaya di hujung terowong dan penawar mujarab bagi isu yang sering diperkatakan.
Penyediaan lokar dilihat sebagai pendekatan sesuai, praktikal dan mudah untuk dilaksanakan di setiap sekolah rendah, tidak kira lokasi dan latar belakang pendapatan ibu bapa murid.
Pendekatan baharu penyediaan lokar akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama bagi murid tahap satu (tahun satu, dua dan tiga) di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.
Ia membabitkan sebanyak 10,662 kelas serta 323,186 murid dengan peruntukan dianggarkan berjumlah RM37.3 juta.
Bagi fasa kedua pula, ia dijangka dilaksanakan pada 2023 dan diperluas kepada murid tahap dua (tahun empat, lima dan enam) di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.
DIGITAL
Selain itu, beberapa pendekatan lain bakal diambil termasuk penyusunan semula jadual waktu, menyemak semula bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan buku kerja, pengenalan buku teks digital dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Langkah ini dijangka mampu menyelesaikan isu beg berat yang sudah berlarutan sejak sekian lama dan membelenggu anak-anak yang merupakan aset dan masa depan negara.
Sememangnya pendekatan buku teks digital dilihat lebih bersesuaian dalam suasana pendidikan ketika ini, namun mungkin menghadapi beberapa masalah dari segi pelaksanaan termasuk menyediakan peranti dalam kalangan murid dari keluarga berpendapatan rendah (B40) dan keperluan melatih murid dan ahli keluarga dalam selok-belok teknologi asas digital dan teknologi maklumat (IT).
Selain itu adalah lebih baik sekiranya persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) yang mempunyai kemampuan kewangan bertindak sendiri untuk menyediakan lokar di sekolah.
Ini sedikit sebanyak dapat membantu mempercepatkan penyediaan lokar untuk kegunaan semua murid tanpa mengira tahap.
PIBG juga mampu membantu pihak sekolah untuk memberi kesedaran kepada murid-murid agar perbuatan vandalisme dapat dielakkan dan kos pemulihan lokar dapat dikurangkan jika berlaku.
Justeru, sekiranya semua pihak terbabit sama ada kementerian, sekolah, PIBG dan ibu bapa dapat bersama-sama secara menyeluruh dalam menjayakan pendekatan dan ketetapan yang dicadangkan, sudah pasti isu beg sekolah berat ini dapat ditangani dengan berhemah. – UTUSAN
DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR & MOHD. FAIZOL RIZAL MOHD. RASID, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam