Pencen awal akibat muak, kecewa dengan perubahan pendidikan

Imej hiasan


PETALING JAYA: Perubahan dasar yang berterusan dan peningkatan jumlah kerja pentadbiran menyebabkan guru yang “kecewa” dan “muak” dengan sesetengahnya mengakui ia menyebabkan ramai yang memohon untuk bersara awal. 

Bercakap kepada FMT dengan syarat tidak mahu nama mereka disiarkan, guru sekolah awam terbabit juga berkata, kekurangan perundingan dan permintaan yang tidak henti-henti oleh pihak atasan adalah antara sebab lain beberapa guru mempertimbangkan untuk bersara. 

Seorang guru dari Ipoh yang mahu dikenali Sally berkata, beberapa rakan sekerjanya telah meletak jawatan kerana mereka “muak” dengan sistem semasa dan pada masa sama kecewa kerana mereka mempunyai pengalaman yang lama. 

“Sebilangan rakan sekerja saya telah memilih untuk berhenti dan saya juga memikirkannya,” katanya. 

“Kadang-kadang, ada arahan berbeza daripada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Daerah. Mereka sepatutnya membuat keputusan dari awal, tetapi mereka tidak peduli (tentang guru). 

“Kami tiada pilihan selain menerima keputusan saat akhir. Kadangkala, kami diminta mengikut arahan lewat malam, yang kemudiannya ditukar atau diubah beberapa hari kemudian.” 

Sally berkata, ini termasuk perubahan saat akhir dalam jadual waktu. 

Seorang lagi guru dari Selayang bersetuju bahawa banyak perubahan dalam jadual dan sukatan pelajaran menyebabkan guru berasa “kecewa”. 

“Mereka (pihak berkuasa sekolah) melakukan sesuka hati tanpa mempedulikan kesannya kepada guru dan mereka tidak tahu apakah keputusan yang paling berkesan di lapangan,” kata guru sekolah menengah yang mahu dikenali sebagai Mohamad itu. 

“Banyak masa terbuang untuk memasukkan data dan melakukan kerja pentadbiran.” 

Mohamad berkata, walaupun beliau masih belum memikirkan tentang persaraan awal, namun memahami mengapa ramai guru memilih berbuat demikian kerana tuntutan yang sukar mereka hadapi. 

Seorang lagi guru, Faizul berkata, walaupun dia fokus untuk kekal dalam perkhidmatan sehingga pencen, namun perbualan mengenai persaraan awal semakin biasa dalam kalangan rakan sekerjanya yang lebih senior. 

Beliau berkata, alasan yang disebut-sebut termasuk perlu mengendalikan tugas pentadbiran, perubahan sukatan pelajaran sekolah yang berterusan dan sistem yang menyaksikan pegawai pendidikan “mengutamakan KPI, bukannya menawarkan sokongan kepada guru”. 

“Kerja pentadbiran lebih mencabar daripada mengajar. Walaupun tunggakan (tugas) kami belum diselesaikan, kami dibebankan dengan lebih banyak kerja. Tekanan kami juga ditambah dengan beberapa tuntutan ibu bapa,” katanya. 

Ketiga-tiga mereka mengulas kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Wang Heng Suan bahawa bilangan guru yang memilih untuk bersara awal dilihat “membimbangkan”. 

Wang menganggarkan lebih 10,000 guru menyerahkan permohonan mereka setiap tahun untuk bersara awal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Previous Post Next Post