Kuala Lumpur: Beberapa pihak menggesa Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil menjawab segala tuduhan yang dilemparkan berhubung penggunaan set soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang sama untuk sesi kedua peperiksaan bermula semalam.
Sesi kedua SPM khusus itu untuk pelajar yang tidak dapat mengambil peperiksaan baru-baru ini kerana Covid-19, banjir atau mereka yang diberi pengecualian khas oleh Pengarah Peperiksaan.
Ada pihak mendakwa soalan peperiksaan Bahasa Melayu (Ujian Mendengar) semalam sama seperti sesi pertama SPM yang sudah dikongsi secara meluas.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung isu itu dan bimbang ianya hanya andaian daripada masyarakat saja.
"Kita tidak boleh membuktikan set soalan yang digunakan untuk sesi kedua SPM adalah sama dengan sebelumnya.
"Hanya pihak Lembaga Peperiksaan yang mengetahui dan perlu tampil menjawab tuduhan ini," katanya kepada Harian Metro.
Katanya, jika dilihat pengurusan peperiksaan awam, KPM mempunyai pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan juga set soalan yang banyak.
"Disebabkan SOP ini membolehkan sijil SPM kita diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Bagi saya tuduhan ini tiada asas dan bukti, KPM menerusi Lembaga Peperiksaan perlu tampil menjelaskan persepsi ini," katanya.
Selain itu, gesaan sama turut disuarakan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) yang mahu Lembaga Peperiksaan tampil menjelaskan tuduhan itu.
Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, beliau juga tidak menerima sebarang laporan berhubung isu itu.
"Bagi saya tiada masalah walaupun menggunakan soalan sama, kerana pengukuran pemarkahan dikira berdasarkan cara penulisan kita dan bukan jawapan aneka pilihan.
"Bagaimanapun, pihak kementerian perlu tampil memberi penjelasan supaya orang awam terutama ibu bapa tidak salah faham dan menjadi pertikaian," katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, sepatutnya soalan peperiksaan yang sama kepada 'batch' pelajar berikutnya tidak berlaku.
"Kebiasaannya perkara ini tidak berlaku, sepatutnya mereka menggunakan soalan baru dan kenapa Lembaga Peperiksaan memilih jalan mudah.
"Malah, apa terjadi kepada bank data soalan dan semestinya soalan melalui SPM sesi pertama sudah dibincang dan dikupas oleh guru dan pelajar selepas peperiksaan," katanya.
Mohamad Ali turut mencadangkan KPM melantik Jawatankuasa Bebas untuk mengesahkan isu itu sama ada benar atau sebaliknya.
"Malah kita cadangkan, jika benar dakwaan ramai, peperiksaan semula bagi subjek berkaitan serta merombak komposisi Jawatankuasa Bank Data Soalan.
"KPM juga perlu memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi," katanya.
Peperiksaan SPM 2021 sesi kedua dilaksanakan bermula 5 April hingga 19 Mei depan merangkumi Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) dan Ujian Amali Sains.