Kerajaan akan potong elaun guru pedalaman?

Imej via FB Ajmal Amin

Isu pendidikan di Malaysia sering menghiasi dada akhbar serta menjadi tajuk utama berita dan perbualan hangat di platform media sosial.

Perhatian juga sering tertumpu kepada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi bin Md. Jidin yang sebelum ini dilaporkan telah berjaya menemui sinar harapan baharu untuk jalan penyelesaian isu berat beg sekolah.

Isu terkini, seorang guru yang bertugas di sebuah kawasan terpencil mempersoalkan rasional di sebalik langkah kerajaan yang akan memotong elaun guru pedalaman tidak lama lagi.

Demi mendidik anak masyarakat orang asli di Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu iaitu sekolah yang terletak di kedudukan paling utara di Perak, Ajmal Amin sanggup meredah perjalanan dari Taiping sejauh 140km setiap hari selama 5 tahun tanpa mengira penat lelah.

Namun, tindakan kerajaan yang tiba-tiba mahu memotong elaun pedalaman tersebut memang amat mendukacitakannya dan hal ini diluahkan oleh beliau melalui satu hantaran yang dibuat di laman Facebook.

Dah 5 tahun aku mengajar kat sekolah pedalaman ni, tipu kalau aku kata aku selesa di sini. Perjalanan pergi balik dari rumah ke sekolah yang memakan jarak hampir 140 kilometer setiap hari mengundang penat fizikal dan mental. Mungkin selama 5 tahun ini aku sering pujuk hati, sekurangnya elaun pedalaman yang aku terima setiap bulan adalah sebagai sedikit saguhati untuk mengganti penat dan lelah yang diharungi.

Hari ini aku mendapat perkhabaran yang mendukacitakan. Elaun pedalaman yang diterima saban bulan akan dipotong sebanyak separuh selepas ini. Sepanjang perjalanan pulang sejauh 70km tadi otak aku tidak berhenti berfikir tentang rasional tindakan yang dikuatkuasakan ini.

Mungkin cuma elaun ini sahaja yang masih menahan aku dari lari dan terus mengajar anak-anak orang asli di sini. Sekolah aku ni seorang cikgu perempuan pun tak ada, sebab terlalu jauh ke dalam katanya, risau akan keselamatan seorang wanita jika dihantar ke sini. Siapa sahaja yang sanggup untuk berulang alik sejauh ini setiap hari tanpa ada sesuatu yang setimpal menjadi ganti. Yang sebenarnya jika dikira tidaklah berbaloi mana elaun itu jika dibanding dengan kos penyelenggaraan kenderaan dan sebagainya.

Aku hairan, elaun pinggan mangkuk menteri tidak pula cuba diselidiki bagi menjimatkan wang negara, tetapi elaun guru yang berkorban setiap hari pula yang menjadi iri dengki golongan yang selesa berhawa dingin dalam pejabat sendiri.

Aku muak bila ada golongan yang cuma setahun sekali menjengah ke sini sibuk memuji keseronokan di sini. Cuaca sejuk selesa katanya, sekolah dekat dengan sungai pandangannya, komen-komen ceria yang dicerita selepas sampai bersama pacuan empat roda yang dipandu tukang pandunya, sedang mereka di belakang selesa tidur dengan mulut ternganga. Apakata kalau mereka cuba bawa sendiri kenderaan berulang alik ke sini, mengelak lubang lubang di jalan, mengelak dari melanggar anjing, ular, babi dan segala macam binatang di dalam hutan tebal ini, aku mahu lihat masih adakah senyum sinis yang terukir nanti.

Periuk kecil aku ini yang sibuk diganggu masaknya sedang kawah nasi menteri tidak pula dipersoal mentahnya.

Entah, aku rasa penat sangat hari ini.

Sumber: Facebook Ajmal Amin
Previous Post Next Post