Guru senior kesal diperlekeh pensyarah

Imej hiasan

SAUDARA PENGARANG, 

INGIN saya memberi pandangan dan berkongsi pengalaman tentang seorang pensyarah kontrak menghina dan memperlekehkan mahasiswanya yang tular dalam media sosial, baru-baru ini. 

Mungkin pensyarah itu marah dan naik angin kerana pembelajaran ketika itu memerlukan komputer riba dan dia tersasul sehingga mengeluarkan ungkapan yang menyentuh golongan berpendapatan rendah (B40). 

Bagi saya, kata-kata ini lahir daripada pengajar di institusi pengajian tinggi (IPT) terhadap pelajar dewasa yang tidak bersedia untuk mengikuti kuliahnya. 

Bagaimanakah agaknya tindakan guru sekolah rendah berhadapan dengan murid kalau mereka tidak membawa buku dan alatan belajar lain? 

Kebiasaannya murid tersebut didenda, guru membawanya berjumpa guru besar atau guru tersebut membebel sendiri. 

Tindakan guru itu adalah berdasarkan besar atau kecil kesalahan murid berkenaan. 

Kalau kesalahan itu besar atau berulang, kemungkinan murid itu didenda lebih berat atau dibawa menghadap pentadbir sekolah. 

Tapi bagi saya, kaedah menegur pelajar dewasa terutama di IPT berbeza dengan murid sekolah kerana pelajar dewasa boleh berfikir dan menguruskan diri sendiri. 

Oleh itu, pensyarah harus menganggap pelajar dewasa sebagai kawan atau anak sendiri yang boleh dinasihati dengan beradab mengikuti garis panduan tertentu, bukan mencurahkan api dan menjatuhkan maruah seseorang. 

Seseorang pendidik dan pensyarah semestinya mempunyai kebijaksanaan dan kesabaran ketika berhadapan dengan pelajar yang berbeza tahap kehidupan dan sukar pula untuk difahami perasaan mereka. 

Kadang-kadang perasaan pelajar dewasa ini mudah tersentuh atau tersentap gara-gara ucapan atau ayat yang dilontarkan tidak sesuai atau sopan walaupun sekadar nasihat. 

Dalam isu pensyarah ini, saya tidak menyebelahi sesiapa. 

HINA

Bagaimanapun, saya menghormati pensyarah sudah pencen yang sanggup menyambung kontrak demi mencurahkan ilmu. 

Saya juga menghormati pelajar yang sanggup menjawab dengan sopan setiap soalan pensyarah walaupun ada perkataan yang diungkapkan menyinggung mereka. 

Anggaplah menuntut ilmu suatu perjalanan yang penuh onak ranjau yang tidak mudah untuk mencapai kejayaan. 

Saya ingin berkongsi dengan pembaca ketika saya berkursus di mana pensyarahnya adalah dalam kalangan tenaga pengajar maktab perguruan. 

Saya berasa teruja kerana dapat sekali lagi menimba ilmu pendidikan setelah keluar lama dari maktab perguruan. 

Ketika saya menuntut di maktab perguruan, pensyarah di situ boleh diibaratkan seperti ibu bapa sendiri kerana keakraban hubungan. 

Berbeza apabila saya berkursus untuk pengesahan jawatan guru siswazah bersama guru muda dan guru senior yang berumur 40 hingga 50 tahun tidak lama dulu. 

Dalam kursus tersebut, pensyarah menyindir, memperlekeh dan menghina guru-guru kerana kesalahan kecil seperti lambat menyiapkan tugasan dan kurang kerjasama dalam kerja kumpulan. 

Guru-guru yang telah berumur ini berasa dihina dan diperlekeh walaupun pensyarah itu sebaya umur dengan mereka. 

Walaupun peristiwa ini telah lama berlaku tetapi kata-kata pensyarah itu telah mengguris hati saya dan kawan-kawan. 

Saya berasa amat malu kerana diperlekeh di hadapan guru yang masih muda. 

Kursus yang dianjurkan tidak harus dijadikan tempat untuk pensyarah melepaskan geram dan mencari seribu satu macam kesalahan guru. 

PESARA GURU, Pahang

Sumber – UTUSAN

Previous Post Next Post