Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menasihati golongan pendidik agar menggunakan aplikasi TikTok bagi tujuan pembelajaran dan bukan untuk mempopularkan diri.
Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata, pihaknya menyokong penuh penggunaan media sosial khususnya TikTok jika ia digunakan bagi tujuan pembelajaran namun bukan secara langsung di dalam kelas secara bersemuka.
"Penggunaan media sosial khususnya secara langsung semasa waktu bertugas rasmi adalah sesuatu yang salah, apatah lagi jika ia lebih bersifat mempopularkan diri sendiri.
"Hal ini amat tidak sihat dan menyalahi peraturan serta patut dihentikan. Demi menjaga imej profesion keguruan, pihak pentadbir sekolah dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) perlu bertindak tegas," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, semasa di dalam kelas, guru sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian kepada murid yang berada di depan mata secara fizikal.
Aminuddin berkata, ramai guru ketika ini terdiri daripada generasi Y dan Z yang membesar dengan media sosial namun mereka perlu patuh kepada garis panduan berkaitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.
Beliau turut menyarankan golongan pendidik agar menggunakan media sosial bagi memuat naik isi kandungan yang berkaitan dengan pendidikan secara ringkas dan padat untuk pengukuhan murid di luar waktu persekolahan.
Semalam, tular di laman Twitter perkongsian seorang pengguna memaparkan tangkap layar seorang guru yang melakukan sesi secara langsung di aplikasi TikTok sambil mengajar di dalam kelas.
Perlakuan itu mengundang pelbagai reaksi negatif khususnya daripada ibu bapa yang rata-rata tidak bersetuju dan bimbang dengan tahap keberkesanan pembelajaran anak mereka di sekolah jika ia terus dilakukan.