Heng Suan berkata, NUTP juga berharap KPM akan kembali membenarkan murid makan di kantin, berbanding di dalam kelas ketika ini dengan pemantauan guru.
Katanya, NUTP menerima aduan daripada pihak sekolah, khususnya yang memiliki jumlah murid ramai bahawa mereka tidak sempat melayan semua murid hingga guru tiada masa untuk rehat dan makan.
Selain itu, katanya, garis panduan 4.0 itu perlu mengeluarkan arahan untuk sekolah tidak lagi melaksanakan saringan suhu badan kerana masih ada sekolah yang melaksanakan pada waktu pagi dan tengah hari hingga membebankan guru, akibat tiada arahan rasmi menamatkan saringan itu.
"NUTP juga berharap KPM menarik balik larangan memasang tirai di sekolah atas alasan menghalang pengudaraan.
"Ini menimbulkan masalah apabila cuaca panas terutama pada waktu tengah hari menyebabkan silau pada papan hitam dan pelajar kepanasan hingga menimbulkan suasana tidak kondusif dalam kelas," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap KPM mengkaji semula pelaksanaan jadual waktu tiga hingga empat mata pelajaran yang diputuskan sebagai antara strategi menangani isu beg berat dalam kalangan murid.
Katanya, langkah itu menyebabkan ada guru terpaksa mengajar mata pelajaran sama selama empat waktu atau lebih dua jam secara berterusan hingga menjejaskan penumpuan murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP).
"Malah, ada guru terpaksa mengajar lapan waktu secara berterusan, iaitu empat waktu di satu kelas dan bersambung empat waktu di kelas lain hingga guru tiada masa berehat," katanya.