Kisah seorang bapa yang sukarela beli kipas angin untuk kelas anaknya di sekolah bukanlah kes terpencil. Terima kasih team KOSMO yang melaporkan berita ini. https://bit.ly/3Jei1nG
Sebenarnya isu ini besar dan perlu perhatian segera. Banyak kelas di sekolah kita yang bermasalah dengan kipas angin dan lampu.
Saya juga acapkali melihat masalah ini bila menyelia latihan mengajar pelajar pelajar saya di sekolah-sekolah. Bila tanya murid-murid dalam kelas, "dah lama kipas ini rosak", biasanya jawapan yang saya terima sama sahaja, "dah lama cikgu".
Malah anak saya sendiri pernah lalui setahun berada di dalam kelas yang kipas angin tidak berfungsi. Malah apabila naik ke tahun seterusnya, satu hari bila beliau masuk semula ke kelas lamanya, kipas tersebut masih belum dibaiki!!
Tindakan bapa ini yang membeli kipas angin dan sedekahkan pada sekolah adalah tindakan terpuji. Itu tandanya beliau mengambil berat tentang keselesaan dan kesejahteraan anak beliau serta rakan-rakan anak beliau di dalam kelas berkenaan.
Tapi dari sudut lain, ini juga bukti KEGAGALAN PENGURUSAN sistem pendidikan dalam menguruskan kesejahteraan anak-anak kita di sekolah.
Walaupun ibubapa boleh dan digalakkan memberikan sumbangan pada sekolah, budaya menyumbang ini tidaklah sampai ke tahap menyediakan infra asas di bilik darjah.
Penyediaan infra seperti kipas dan lampu adalah di bawah tanggungjawab KPM dengan menggunakan duit peruntukan kerajaan.
Bukankah ibubapa sudah pun membayar cukai kepada kerajaan? Jadi jangan kata ibubapa hanya pandai mengadu dan tak membantu pihak sekolah. Bantuan kepada sekolah sudah pun dibuat oleh ibubapa melalui pembayaran cukai setiap tahun.
Sekali lagi saya ulang, kipas rosak bukan kes terpencil.
Selain kipas dan lampu, jika ada ibubapa yang ke sekolah anak-anak anda, lihat juga keadaan tandas murid-murid. Pengalaman saya melawat banyak sekolah, kebanyakan tandas kotor dan sangat hancing.
Guru sendiri pun tak tahan. Sebab itu guru ada tandas guru dan dikunci setiap masa supaya murid-murid tidak curi masuk dan menggunakannya.
Cuba anda tanya betul atau tidak, ramai murid sebenarnya lebih rela menahan diri dari buang air besar di tandas sekolah. Mereka lebih sanggup tunggu sampai balik ke rumah.
Sejahterakah anak-anak kita untuk belajar di dalam bilik darjah dalam keadaan mereka terpaksa menahan perut yang meragam?
Sejahterakah anak-anak kita yang terpaksa belajar dalam keadaan bilik darjah yang sesak dan panas kerana kipas angin rosak?
Sejahterakah guru-guru kita mengajar dalam kelas kelas yang panas?
Mengapa tak buat aduan?
Apa gunanya ada PGB dan kakitangan am sekolah kalau mereka sendiri tak pantau dan selesaikan? Mengapa kena tunggu aduan? (Cumanya bila aduan dibuat selalunya mereka akan kata tiada bajet untuk tukar kipas atau stok belum sampai)
Apa gunanya begitu ramai pegawai di PPD untuk pastikan setiap sekolah di dalam daerah mereka berada dalam keadaan terurus? Mengapa kena tunggu aduan? (Cumanya bila aduan dibuat selalu mereka akan kata proses lambat sedikit sebab kena beli kipas secara pukal/tender).
Apa gunanya begitu ramai pegawai di JPN? Mengapa kena tunggu ada aduan? (Cumanya bila aduan dibuat biasanya akan kata ini urusan PPD dan sekolah).
Bangau oh Bangau...
Akhirnya masalah sekecil kipas angin pun tidak dapat diselenggarakan dengan segera. Anak-anak kita menjadi 'mangsa' kegagalan pengurusan pendidikan dan terpaksalah mereka belajar dalam kepanasan setiap hari.
Inilah hakikat jika pemimpin pendidikan kita mahu tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku di bawah sana. Nak tahu, tanya guru yang 'berani bersuara' demi kebaikan murid-murid.
Ini pun hanya satu contoh kecil dari berbagai lagi isu infra yang lain.
Menariknya, bila dengar Menteri dan rombongan akan turun ke sekolah , semua kerosakan insyaAllah akan siap sebelum sempat kereta menteri sampai ke pintu pagar sekolah.
Inilah 'budaya kerja' kita.
Dr Anuar Ahmad