KUALA LUMPUR: Penipuan keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen untuk mendapat 'cuti percuma' perlu dibendung lebih awal, sebelum ia menjadi budaya atau kebiasaan di tempat kerja.
Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu didapati berlaku kerana prosedur saringan adalah mudah dan longgar, yang mana pekerja hanya perlu melaporkan keputusan RTK antigen dalam aplikasi MySejahtera serta memaklumkannya kepada majikan.
Beliau mengakui kemudahan sedemikian diperuntukkan supaya pekerja tidak perlu melalui proses rumit untuk memberikan justifikasi kepada majikan bahawa mereka perlu mengambil cuti sakit atau menjalani kuarantin kendiri.
"Pekerja seharusnya memanfaatkan kemudahan ini dengan jujur dan bertanggungjawab, iaitu menyampaikan laporan ujian COVID-19 secara telus dan bukan mengambil kesempatan terhadap kelonggaran berkenaan.
"Penipuan maklumat seperti ini akan menyebabkan produktiviti syarikat terjejas, sekali gus memberi kesan kepada rakan sekerja apabila terpaksa menampung lebih banyak tugas yang sepatutnya ditanggung oleh pekerja sihat tetapi bercuti sakit.
"Ia boleh memberikan implikasi yang tidak sihat dalam organisasi, selain mengakibatkan keruntuhan integriti pekerja dalam melaporkan kesahihan sesuatu perkara.
"Perlu diingatkan individu yang didapati bersalah mengemukakan maklumat palsu mengenai ujian saringan COVID-19 boleh dipenjara sehingga dua tahun atau/dan didenda mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sebagai langkah tambahan, Shawaludin berkata, majikan boleh mengawal unsur manipulasi ini dengan meminta pekerja melakukan ujian RTK antigen di klinik panel, selain keperluan mengemukakan bukti bergambar atau merekod video ketika ujian calitan dijalankan.
Katanya, MSOSH turut menekankan supaya majikan perlu mempunyai toleransi sekiranya pekerja benar-benar sakit dan dijangkiti virus COVID-19, memandangkan wujud laporan yang masih menuntut pekerja untuk bertugas dari rumah walaupun mereka disahkan positif dan bergejala.
"Disebabkan hal ini, adalah penting untuk pekerja dan majikan sentiasa jujur dan bertoleransi dalam menjalankan rutin pekerjaan dalam norma baharu ini.
"Selepas dua tahun kita melalui fasa pandemik, Malaysia akan mula memasuki fasa endemik COVID-19, dengan lebih banyak kelonggaran dan keanjalan diperuntukkan kepada rakyat, termasuk golongan pekerja.
"Kelonggaran ini seharusnya menjadikan pekerja lebih sihat dan produktif di tempat kerja, sekali gus menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19," katanya.