Tanggungjawab guru untuk maklumkan buku yang perlu dibawa murid - KGMMB


KUALA LUMPUR – Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) saranan oleh beberapa pihak untuk penggunaan gajet, internet atau buku digital perlu diperhalusi sebelum ia dilaksanakan di seluruh negara bagi menangani isu beg berat yang telah dibincangkan lebih sedekad. 

Presiden KGMMB, Jasni Mohd Kechik berkata, sebagai penyelesaian jangka pendek mengatasi ‘beg berat’, susunan jadual waktu subjek dan masa belajar harus meletakkan aspek atau komponen dalam subjek berkenaan dengan membawa buku yang perlu sahaja. 

“Guru subjek masing-masing yang mempunyai peruntukan banyak masa seminggu seperti bahasa Melayu dan Inggeris perlu memberi penekanan dalam jadual mereka berkaitan buku yang perlu dibawa seperti buku teks, buku kerja dan buku latihan (tulis) mengikut hari dan waktu masa subjek itu. 

“Selain itu semua panatia subjek sewajarnya duduk berbincang bagi mengatasi membawa buku teks yang banyak dan jadual waktu yang disusun bagi menghindari murid daripada membawa ‘semua buku’,” katanya ketika dihubungi. 

Katanya, ketika negara menghadapi pandemik Covid-19, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) turut menghadapi kesulitan khususnya murid yang tinggal jauh dari bandar yang sukar mengakses internet. 

“Kita lihat ada murid atau pelajar pengajian tinggi perlu berjalan kaki jauh dari rumah, mendaki bukit dan menggantung telefon bimbit untuk mendapatkan liputan internet, kalau isu prasarana ini tidak diselesaikan dahulu, kegagalan dan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar akan terus meluas. 

“Saranan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mahukan penggunaan buku elektronik atau pendidikan digital di sekolah rendah perlu diperluaskan ke seluruh negara tidak boleh dinafikan. 

“Pihak KPM perlu juga memainkan peranan dengan mengadakan perbincangan dengan pemain industri telekomunikasi untuk perluaskan perkhidmatan di seluruh negara ke pelusok dan hujung negara,” katanya. 

Seorang guru yang dihubungi dan enggan namanya disiarkan berkata, kemungkinan masalah isu beg berat banyak berlaku bagi murid yang bersekolah rendah dan menengah rendah. 

“Saya beranggapan guru sudah pasti sudah memaklumkan buku yang perlu dibawa tetapi mereka (murid) ‘bimbang’ tertinggal buku yang perlu dibawa, maka mereka sumbat semuanya di dalam beg sebagai langkah selamat. 

“Selain itu, sudah sampai masanya loker di setiap kelas perlu disediakan bagi penyimpanan buku teks dan murid hanya membawa balik buku yang perlu digunakan sahaja ke rumah, ibubapa seharusnya memainkan peranan dalam menyusun buku mengikut jadual anak mereka,” katanya. 

Seorang guru besar sebuah sekolah berkata, buku digital atau elektronik memang bagus tetapi prasarana internet dan sistem digital perlu dipertingkatkan ke seluruh negara, selain itu kos yang tinggi perlu untuk menaiktaraf sistem telekomunikasi. 

“Selain itu dibimbangi, generasi yang menggunakan buku digital akan ‘gagal’ dari sudut psikomotor jari jemari untuk penulisan serta akan menjadi manusia individualistik yang anti-sosial,”katanya.

Sumber -SAHIH.

 

Previous Post Next Post