Pengerusi PIBG SK cyberjaya Abdul Karim Mustafa meninjau salah satu bilik darjah di sekolah berkenaan. (Gambar Facebook PIBG SK Cyberjaya) |
PETALING JAYA: Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Cyberjaya menolak dakwaan kononnya ibu bapa di sekolah itu terpaksa memberi sumbangan untuk membeli set meja dan kerusi murid disebabkan tiada peruntukan daripada pihak berwajib.
Pengerusinya, Abdul Karim Mustafa berkata, keputusan membuka Tabung Meja Murid seperti yang tular di laman Twitter adalah langkah proaktif yang diambil PIBG untuk membantu pentadbir sekolah.
“(PIBG) ada tiga pilihan. Satu, ambil tindakan proaktif selaku PIBG. Kedua, kita boleh tunggu peruntukan daripada kementerian. Yang ketiga, kita boleh berdiam diri dan ‘tweet’ secara tak perlu dan polemikkan isu ini.
“Kita bermesyuarat dengan pentadbir sekolah dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah), apakah keperluan yang perlu kita bantu dalam masa terdekat sementara sekolah nak buka.
“Itu adalah praktis biasa PIBG. Kekurangan meja kerusi ini akan sentiasa ada. Kerusi meja sudah uzur patah dan sebagainya. Jadi kita ganti dengan yang lebih selesa, terutama untuk Tahun 1 yang baharu masuk sekolah,” katanya kepada FMT.
Abdul Karim Mustafa |
Karim menolak tanggapan mengatakan pihak berwajib tidak memperuntukkan dana sehingga memaksa PIBG membuka Tabung Meja Murid.
“Kalau di Twitter kata peruntukan tak cukup, tak betul sebab PPD Sepang sudah beri komitmen akan menambah 152 unit dalam masa terdekat. Tapi kena faham, kerajaan ada prosedur dokumen, akan ambil masa. Jadi sementara itu, kita ambil langkah proaktif untuk membantu sekolah.
“Kita buka (tabung) 24 jam sahaja, (dana) sudah pun mencukupi. Tak sampai 24 jam pun. Ibu bapa begitu prihatin.
“Kita sebenarnya menampung sebahagian sahaja, 50 unit sahaja yang diperlukan sebab pertambahan bilangan murid yang mendadak di SK Cyberjaya ini. Tiada sekolah yang lain di Cyberjaya, hanya ada SK Cyberjaya sahaja,” jelasnya panjang lebar.
Terdahulu kecoh di laman Twitter apabila PIBG sekolah itu membuka Tabung Meja Murid, yang kemudiannya mengundang pelbagai reaksi warganet.
Karim berkata, isu utama yang dihadapi SK Cyberjaya adalah sekolah yang terlalu padat berikutan ia satu-satunya sekolah di Cyberjaya.
Saban tahun SK Cyberjaya menerima penambahan pelajar Tahun 1 sekitar 400-500 murid, sehinggakan waktu rehat terpaksa diadakan dua kali untuk setiap sesi pagi dan petang.
Buat masa ini, SK Cyberjaya hanya memiliki 25 buah bilik darjah dengan jumlah murid sekitar 2,400 merangkumi sesi pagi dan petang.
“Daripada dulu, sekolah ini terlalu sesak. Ini isu utama. Jadi bila terlalu sesak ia akan membabitkan isu logistik bilik darjah, kerusi meja, jadi dia akan berkait.
“PPD tengah bantu kita untuk permohonan membina bilik darjah tambahan berkonsepkan modular bagi menampung pertambahan pelajar ini,” katanya.
Tambah Karim, keadaan sesak di sekolah itu sudah pun dalam pengetahuan menteri pendidikan dan ketua setiausaha KPM, namun belum ada apa-apa perkembangan yang boleh dikongsikan kepada umum.
“Orang Cyberjaya yang ada jawatan atau ahli politik, tolong datang ke SK Cyberjaya (dan lihat sendiri), sekolah perlukan banyak bantuan,” katanya.