Ibu bapa sepatutnya dapat memberi bimbingan dan nasihat untuk mencorak kehidupan seharian dan masa depan anak mereka.
Namun, tanpa disedari kadang-kadang ibu bapa itu sendiri seolah-olah terlalu memaksa anak-anak mengikut kemahuan mereka.
Perkara ini mungkin akan menimbulkan masalah kepada mereka dan juga anak-anak mereka tersebut pada masa akan datang.
Misalnya dalam penentuan kelas aliran pelajar Tingkatan 4 anak-anak yang kini sedang hebat berlangsung di sekolah-sekolah di Malaysia.
Melalui Facebooknya, Khairul Anuar Basri telah membuat satu hantaran yang sangat menarik mengenai isu ini.
Perkongsian ini diharap dapat membuka mata para ibu bapa yang tanpa disedari sedang ‘membunuh’ masa depan anak mereka.
Perkongisan beliau seperti berikut:
JANGAN BUNUH MASA DEPAN ANAK-ANAK!
Pagi ni saya terima Whatspp bergambar dari anak kedua saya. Happy dia sebab dapat aliran yang dia nak untuk masuk Form 4.
Saya selalu cerita dekat anak-anak. SPM di Malaysia ni macam lesen untuk macam-macam. Nak masuk universiti kena ada SPM. Nak kerja makan gaji nanti pun kena ada SPM.
Itu dah memang sistem yang semua orang maklum. Kalau takde SPM ni alamatnya susah la sikit hidup kita kat Malaysia ni.
Jadinya, bila masuk form 4, ambil la aliran yang kita minat atau yang kita senang nak score exam SPM. Jangan sesekali cari penyakit ambik aliran yang kita tak minat atau pun yang kita ada masalah.
Bila result SPM kita bagus, banyak pilihan universiti yang kita boleh mintak. Sebaliknya bila result SPM kita tak bagus, nak belajar kat universiti mana pun susah.
Masa saya sekolah menengah dulu, saya memang target nak score SPM. Semua subjek yang saya ambik ialah yang saya minat dan mudah bagi saya.
Kenapa begitu? Sebab SPM ialah masa depan saya. Bukan masa depan mak bapak saya. Bukan juga masa depan cikgu atau sekolah saya.
Yang jadi masalah sekarang ni ialah mak bapak, cikgu-cikgu dan juga sekolah pulak yang lebih-lebih nak corakkan masa depan anak-anak dengan SPM.
Semua pakat nak suruh ambil kelas aliran sains.
Macam kalau tak ambil aliran sains, dunia ni akan kiamat kot.
Semua pakat nak suruh jadi doktor, engineer, pilot, ahli sains dan sebagainya. Macam kalau tak jadi semua tu, hidup ni gagal la kot.
Kalau mampu, silakan. Takde siapa nak halang pun. Bagus la ada Muslim Mukmin yang mahir bab-bab sains ni.
Tapi kalau dah dari Form 1 sampai ke Form 3 subjek sains asyik cukup makan saja, subjek Matematik asyik fail saja, ko ingat budak tu larat nak pikul beban mengaji Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan?
Ini maksud saya, kita dah bunuh masa depan anak-anak kita. Mak bapak, cikgu dan sekolah dah bunuh masa depan para pelajar SPM dalam diam dan tanpa sedar.
Benda ni terjadi kat anak sulung saya sendiri. Dia tak minat segala macam subjek Sains Tulen dan Matematik. Dah mintak dah kelas aliran lain. Tapi sekolah tetap jugak masukkan dia aliran Sains Tulen.
Hasilnya? Kalian sendiri pun boleh agak la kan. Saya nak sebut pun malu. Result exam asyik gagal saja. Nak score A jauh sekali.
Bukan tu saja. Semangat nak gi sekolah pun hilang. Nak masuk kelas pun takde mood. Kalau belajar selalu hilang fokus.
Yelah, buat benda kita tak nak. Kalau kena kat kita pun sama jugak kan?
Sepatutnya – kalau saya boleh cadang la kan – sekolah buat la survey pelajar Form 3 nanti aliran apa yang diorang nak ambil. Biasanya sekolah akan sediakan subjek teras dan elektif untuk pelajar pilih.
Daripada situ boleh tahu berapa kelas Sains Tulen nak bukak, berapa kelas aliran biasa nak bukak.
Ini tak. Daripada 5 kelas, 3 aliran sains tulen. Bila pelajar minta aliran biasa tak dapat, disumbatnya juga pelajar tu dalam kelas sains tulen. Bukankah ini zalim namanya?
Ke polisi Kementerian Pendidikan yang macam tu? Kena ada jugak certain-certain bilangan kelas Sains Tulen di sekolah? Kalau macam tu la polisinya, ini sudah tak betul dan mesti diperbetulkan.
Minta maaflah kalau saya terpaksa tulis macam ni. Saya bukan anti sains, kelas Sains Tulen mahu pun Sekolah Sains. Bahkan saya sokong dan suka dengan subjek Sains.
Saya minat dengan cara saya. Dan saya tak ambil aliran Sains masa SPM dulu sebab saya tahu setakat mana kemampuan saya.
Cuma jangan sesekali pandang lekeh pada minat dan bakat anak-anak. Jangan pandang ia sebelah mata.
Walaupun ia bukan aliran sains, ia tetap juga permata ilmu yang perlu dihargai. Walaupun anak kita tak terer Sains dan Add Math, ada banyak lagi kebaikan pada anak-anak kita yang kalau kita gilap dari awal, mereka juga bakal menjadi manusia yang hebat dan cemerlang.
Paling penting, jangan bunuh masa depan anak-anak kita. Bagi mereka peluang untuk hidup. Kalau mereka terbunuh lepas SPM nanti, itu kira nasib mereka memang tak baik la kan. Takde rezeki kata orang.
Tapi selagi kita ada ruang untuk bagi anak-anak kita bernafas, maka bagilah anak-anak kita bernafas. Allah pun sebut beberapa kali dalam Quran larangan bunuh anak-anak ni.
Dan bunuh anak-anak dalam konteks moden ini salah satunya pada hemat saya ialah membunuh bakat dan kemampuan mereka dalam bidang pendidikan.
#KAB