Murid perempuan dilapor hilang ditemui selamat

Kuala Lumpur: Murid perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Midah 1, Cheras dekat sini, yang dilaporkan hilang pada petang hari ini sudah ditemui malam ini selepas dipercayai tersalah menaiki van sekolah.

Murid perempuan dikenali Sofia Raniya, 8, itu adalah anak ketiga daripada empat beradik.

Ibu kepada kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Ryana menerusi siaran langsung di Facebook mengesahkan anaknya kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Dia bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya.

"Ada orang jumpa dia di Bandar Tun Razak dan kini ada di IPD Cheras," katanya.

Dia sepatutnya mengambil anaknya pulang sekolah pada 5.50 petang tetapi terlewat disebabkan keadaan lalu lintas yang sesak menyebabkannya tiba pada 6.20 petang.

"Setiba saya di sekolah, anak saya sudah tiada di sekolah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar ketika dihubungi Bernama, malam ini mengesahkannya.

Muhammad Idzam berkata, kanak-kanak itu ditemui di Bandar Tun Razak, Cheras di sini.

Ketika ini, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sedang mengambil keterangan ibu kanak-kanak itu," katanya.

 

Previous Post Next Post