Media sosial medan murid serlah potensi, kemampuan diri

Kebelakangan ini pembabitan pelajar di media sosial sebagai pempengaruh semakin meluas. Kumpulan pelajar ini tidak terhad kepada penuntut institut pengajian tinggi tetapi juga murid sekolah.

Media sosial menjadi medan bukan hanya untuk bersahabat tetapi bagi tujuan pengiklanan, ulasan produk malah kupasan isu semasa yang mana mampu memberikan sumber pendapatan kepada mereka.

Ironinya generasi terdahulu menggunakan kaedah tradisional dalam berkongsi pendapat atau idea, misalnya melalui saluran tertentu seperti memasuki pertandingan debat pada peringkat sekolah atau kampus sahaja. Ternyata ketika itu peluang adalah terhad dan selalunya ia hanya akan berpihak kepada pelajar dengan pencapaian akademik yang baik. Namun hal ini tentu sahaja menimbulkan tanda tanya kerana adakah itu kriteria utama bakat pelajar diketengahkan?

Dalam hal ini, media sosial dilihat memainkan peranan yang besar dalam kehidupan pelajar masa kini. Tambahan pula kajian menunjukkan masyarakat Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial dan hampir 60.9 peratus adalah daripada kalangan Generasi Z (Gen Z).

Golongan ini dikatakan berkecenderungan berinteraksi menggunakan media sosial berbanding secara bersemuka. Ditambah pula dengan norma baharu berikutan penularan wabak COVID-19, ia mendorong mereka memilih kebebasan sosial yang tersendiri iaitu berdamping hampir setiap masa dengan gajet. Telefon pintar atau komputer sentiasa di sisi membolehkan mereka mengakses laman sosial pada kadar minimum lapan jam sehari.

Secara tidak langsung peluang ini digunakan oleh pelajar untuk menonjolkan bakat serta kemampuan diri dengan berkongsi pelbagai informasi dengan pengikut masing-masing. Tidak hairanlah apabila ramai pelajar sebelum ini yang rendah keyakinan diri ataupun kurang bersosial berupaya memperbaiki diri. Mereka berjaya menonjolkan bakat dan kemampuan diri apabila mendapat peluang dan ruang beraksi di media sosial.

Tidak dinafikan media sosial yang mempunyai kuasa tular turut menjadikan golongan ini lebih dikenali ramai. Ia juga membolehkan mereka menjana pendapatan mencecah ratusan malah ribuan ringgit. Mereka hanya melakukannya secara sampingan di rumah.

Namun dari sisi lain pula, gelaran seperti selebriti segera, insentif ganjaran kewangan yang tinggi serta pengaruh besar dalam masyarakat ada kalanya turut mengundang risiko dan kesan buruk.

Selain perlu mencipta kandungan yang terkini dan relevan, tekanan untuk mengekalkan peratusan tontonan daripada pengikut serta kemampuan mengekalkan momentum penghasilan karya turut menjadi cabaran utama kepada pelajar. Sebarang provokasi dan isu sensitif juga perlu diambil kira. Hal ini kerana ada kalanya komen yang diberikan oleh pengikut agak kasar dan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga tempat mereka belajar. Keadaan ini tentu sahaja mengakibatkan reputasi dan nama baik institusi tercalar. Justeru, isu yang diketengahkan wajar bersesuaian dengan norma ketimuran.

Impak pempengaruh ini agak besar. Di negara seperti Indonesia kedudukan pelajar yang menjadi pempengaruh ini istimewa. Misalnya, terdapat universiti menawarkan kaedah kemasukan istimewa kepada bakal pelajar yang mempunyai saluran YouTube dengan sekurang-kurangnya 10,000 pengikut.

Namun keberkesanan mengenal pasti bakat pelajar melalui laman sosial perlu dikaji dengan lebih mendalam serta pembabitan pelajar dalam media sosial ini wajar dipantau. Hal ini supaya isu yang diketengahkan adalah bersesuaian dengan norma ketimuran.

Pelajar juga dari satu segi adalah golongan yang mempunyai peranan komprehensif untuk memimpin masa hadapan serta mampu menjadi golongan intelektual yang berperanan membantu masyarakat dalam pelbagai perkara.

 

Previous Post Next Post