Lokar hanya langkah sementara, semak silibus akan kurangkan berat beg sekolah - Pakar


KUALA LUMPUR - Tujuh pendekatan yang digariskan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani masalah beg sekolah berat di kalangan murid sekolah rendah disambut baik pelbagai pihak. 

Begitu pun ramai ibu bapa berpendapat, pendekatan yang digariskan khususnya kemudahan lokar di dalam bilik darjah hanyalah penyelesaian jangka pendek kepada isu berkenaan. 

Malah penyediaan lokar di 10,662 kelas di sekolah rendah dua sesi di seluruh negara membabitkan peruntukan berjumlah RM37.3 juta juga dianggap sebagai satu pembaziran. 

Menurut mereka, peruntukan tersebut sebenarnya boleh dijimatkan jika KPM mencari pendekatan jangka masa panjang terbaik untuk menangani masalah tersebut. 

Ramai ibu bapa turut tertanya-tanya bagaimana penyediaan lokar di dalam kelas dengan jumlah murid ramai tanpa penggiliran, ditambah pula kedudukan meja yang perlu disusun mengikut kadar jarak sosial selamat. 

Walaupun perkara itu nampak mudah tetapi adakah ia boleh mengatasi masalah sedia ada secara menyeluruh? 

Susulan itu, ramai ibu bapa memberi pendapat mereka di ruang komen Facebook KPM berhubung pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin mengenai perkara itu petang semalam. 

Sebenarnya, majoriti ibu bapa mengharapkan agar KPM mengkaji semula silibus yang bersesuaian dengan tahap penguasaan murid. 

“Silibus sekarang banyak mengarut dan terlalu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang mengakibatkan buku teks jadi tebal. 

“Tak perlu terlalu terkejar-kejar tapi perkara asas 3M murid kelaut,” kata Mohd Lutfi Lokman. 

“Isunya sekarang subjek terlalu banyak untuk satu hari. Topik setiap subjek makin bertambah. Lokar di sekolah hanya penyelesaian jangka pendek sahaja,” kata Hadi Sulaiman. 

“Kurangkan silibus. Terhad tiga atau empat mata pelajaran sehari. Jimat RM37.3 juta,” kata Mohd Shaharuddin. 

“Satu hari elok dua subjek sahaja, bukan tambah lokar. Confirm tak jadi dan memeningkan pentadbir sekolah sahaja,” kata pula Atoon Ceqia. 

Komen sebilangan besar ibu bapa itu sama seperti saranan dilontarkan Pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berhubung isu tersebut. 

Menurut beliau, KPM perlu menyemak semula kurikulum murid di sekolah bagi mengurangkan isu beg berat untuk jangka masa panjang. 

Katanya, ini kerana faktor utama yang menyumbang kepada isu terbabit adalah bilangan mata pelajaran yang masih banyak dan silibus mata pelajaran yang padat. 

“Sebagai pemerhati sistem pendidikan negara, saya menyambut baik keputusan KPM kerana bersedia mendengar pandangan rakyat dan mengambil tindakan susulan isu ini. 

“Bagaimanapun, tujuh strategi yang diumumkan KPM hari ini sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan isu berkenaan dalam jangka masa pendek,” katanya kepada Getaran. 

Beliau berkata, tujuh strategi tersebut adalah hasil cadangan pelbagai pihak, diyakini akan dapat mengurangkan isu beg sekolah berat. 

“Khususnya strategi penyediaan lokar (untuk sekolah dua sesi) dan membenarkan buku disimpan di dalam laci meja (sekolah satu sesi) untuk anak-anak Tahap 1. 

“Begitu juga dengan strategi penggunaan buku teks digital, menghadkan bilangan dan jumlah muka buku latihan serta penyelarasan pakaian sekolah untuk kelas di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya. 

Dalam pada itu, Anuar berkata, keputusan KPM mengurangkan bilangan waktu mata pelajaran dalam jadual harian merupakan keputusan baik dan tepat. 

“Dengan arahan KPM yang menghadkan hanya tiga hingga empat sahaja mata pelajaran setiap hari, bilangan buku teks dan buku latihan yang dibawa oleh murid-murid setiap hari dapat dikurangkan secara signifikan,” katanya. 

Selain penyediaan lokar, penyusunan semula jadual waktu, bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan kerja, pengenalan buku teks digital, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kerjasama dengan JAKIM antara pendekatan diambil KPM bagi mengatasi isu beg berat yang membelenggu murid sejak 30 tahun lalu. - Getaran

 

Previous Post Next Post