PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan kebenaran untuk pencarum melakukan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, perincian mengenai pengeluaran simpanan terbabit akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
"Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.
"Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
"Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP. Justeru itu, pada hari ini Kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000," katanya dalam pengumuman khas tengah hari ini.
Ismail Sabri berkata, keputusan memberi kebenaran pengeluaran caruman KWSP itu adalah keputusan yang sukar kerana ia membabitkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.
Katanya, walaupun kerajaan memberi kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun beliau merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.
"Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan," katanya.