Jangan benarkan orang datang rumah jika anak ambil SPM


KANGAR: Ibu bapa dinasihatkan tidak membenarkan orang yang tinggal dari luar negeri ini mengunjungi dan tinggal di rumah mereka jika mempunyai anak yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman berkata, ini bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan calon yang menduduki peperiksaan tersebut.

Katanya, pelajar, ahli keluarga dan pengawas peperiksaan dinasihatkan untuk tidak mengunjungi tempat-tempat yang berisiko. Supaya tidak memberi kesan kepada calon sepanjang peperiksaan dijalankan.

Dalam masa sama katanya, calon-calon SPM di negeri ini juga diminta untuk membuat deklarasi bahawa mereka bebas Covid-19 dan diminta jujur dalam berbuat demikian.

“Cabaran yang kita hadapi adalah banyak pengawas peperiksaan yang positif iaitu sebanyak 10 hingga 15 peratus. Namun begitu, kita bernasib baik kerana kami sudah bersedia lebih awal dengan pengawas simpanan yang dapat membantu.

“Bagi calon pula, kami belum ada lagi data berapa ramai yang positif. Sekiranya calon positif dan kuarantin maka tempoh tersebut adalah bergantung pada surat yang dikeluarkan oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD). Mereka perlu mengambil peperiksaan ulangan.

“Namun begitu, sekiranya mereka sudah bebas daripada Covid-19, maka mereka perlu menduduki kertas peperiksaan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke pusat peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis di sini hari ini.

Sementara itu, Naharudeen memberitahu, sebanyak 3,598 calon menduduki SPM di 36 buah pusat peperiksaan di seluruh negeri ini termasuk enam calon di hospital.

Katanya, sebanyak 3,116 calon melibatkan pelajar dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan; Maktab Rendah Sains Mara (244), sekolah swasta (77), calon persendirian (127) dan sekolah menengah agama rakyat (34).

“Calon Keperluan Khas (CBK) pula adalah seramai 14 orang melibatkan calon tambahan masa dan bilik khas serta calon di hospital. Terdapat juga beberapa calon orang kurang upaya (OKU).

“Seramai 272 orang petugas peperiksaan telah dilantik meliputi lapan penyelia kawasan, 36 ketua pegawas dan 228 pegawas bagi keseluruhan 36 pusat peperiksaan,” ujarnya. –UTUSAN

 

Previous Post Next Post