Guru, pelajar cipta D'ALert bantu kawal penjarakan


SEREMBAN: Sekumpulan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Durah, di sini, mencipta alat khas dikenali D'Alert yang dapat membantu dalam menjaga penjarakan sosial khususnya di sekolah.

Alat dicipta sebagai sebahagian projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama pelajar bermula Februari lalu itu dapat mengesan sekiranya ada dalam kalangan pelajar atau mana-mana individu berada dalam jarak dekat antara satu sama lain.

Guru Penyelaras STEM SMK Tengku Ampuan Durah, Siti Nurul Ain Idrus berkata, idea mencipta D'Alert tercetus selepas mereka mendapati isu penjarakan sosial sukar dikawal terutama membabitkan pelajar.

Beliau berkata, alat itu berfungsi bagi menggalakkan pelajar menjaga penjarakan sosial seperti yang perlu diamalkan dalam normal baharu. Ia akan mengeluarkan tanda X sekiranya terdapat pelajar berada dalam jarak dekat.

"D'Alert menggunakan teknologi microbit yang mana kami hanya perlu membuat penyelarasan atau 'coding' secara dalam talian kerana ia tidak memerlukan perisian komputer.

"Jadi kami menetapkan jarak satu meter dan jika pelajar berada kurang daripada jarak itu ia akan mengeluarkan tanda X dan tanda itu akan hilang sebaik pelajar menjauhkan diri satu sama lain," katanya.

Siti Nurul Ain berkata, beliau kini bersama beberapa guru lain yang turut terbabit dalam projek itu iaitu Lee Shing Hua, Mohd Zaidi Mohd Nazar, Norazlina Abdullah dan Nurhida Mohd Noh Amar Husaini Ismail, sedang menambah baik fungsi D'Alert.

"Kami dapati isu penjarakan sosial sukar dikawal terutama membabitkan pelajar, jadi kami hadir dengan alat ini bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

"Selain membantu dalam mengawasi penjarakan sosial, kami juga akan menambah fungsi supaya ia dapat membaca suhu badan pelajar dan dapat digunakan sebagai semakan kehadiran.

"Jika projek ini berjaya, kami tidak menolak kemungkinan untuk mengeluarkan prototaip sebelum memasarkannya," katanya.

Dalam pada itu, Siti Nur Ain berkata, pihaknya juga mencipta tong sampah khas untuk membuang pelitup muka dikenali Modi Maskbin yang menggunakan teknologi infra merah.

"Topeng muka sudah dipakai sepatutnya dibuang dalam tong sampah khas. Daripada isu ini kami mencipta tong sampah untuk membuang pelitup muka, yang boleh terbuka sendiri melalui pengesan infra merah tanpa perlu disentuh.

"Kami kini sedang menambah baik fungsi cecair nyahkuman pada tong sampah khas terbabit," katanya.

 

Previous Post Next Post