GIP mohon ketelusan pengambilan guru ‘one-off’


Putrajaya: "Isu lambakan Graduan Ikhtisas Pendidikan (GIP) masih belum dapat diselesaikan, malah sebilangan besar graduan masih menunggu panggilan temuduga sejak sekian lama. Ramai antara mereka terpaksa melakukan kerja di luar bidang bagi menyara kehidupan," ujar jurucakap GIP, Siti Khadijah Mohd Lufti. 

Khadijah berkata, GIP menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tadi, bagi mendapatkan ketelusan berkenaan pengambilan khas guru secara 'one-off' yang diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin pada Jun tahun lalu. 

Katanya, antara isu yang dibangkitkan adalah graduan yang memohon jawatan guru digagalkan tanpa mendapat hitam putih dan ditarik semula pelantikan kerana didakwa tidak melengkapkan dokumen. 

"Antara alasan diberikan adalah dokumen tidak lengkap seperti tiada surat senat, transkrip termasuk penolakan pengambilan guru muzik, guru sejarah, guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) dan isu biasiswa KPM. 

"GIP berpandangan berlaku ketidakadilan dari pihak pelantikan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), malah badan terbabit mengakui berlaku beberapa kesilapan semasa pelantikan dengan memberi alasan terlepas pandang, masalah teknikal dan sistem, "katanya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil KPM di lobi kementerian itu. 

Seramai 13 wakil GIP hadir mewakili graduan tiga universiti terdiri dari Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Management and Science University (MSU). 

Pada Jun tahun lalu,Mohd Radzi mengumumkan KPM akan mengambil 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara 'one off' untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu. 

Menurutnya, KPM akan mengeluarkan iklan tawaran pada 7 Julai 2021 dan penempatan secara berperingkat bermula Oktober tahun lalu. 

Ia adalah pengambilan guru terbesar setakat ini. 

Khadijah berkata, GIP menuntut hak mereka dan menyarankan KPM tidak membuat pelantikan kepada calon yang tidak mempunyai kontrak perkhidmatan (COS) ikhtisas pendidikan. 

Menurutnya, memorandum diserahkan itu menuntut KPM melaksanakan tiga perkara iaitu isu calon yang digagalkan kerana tidak melengkapkan dokumen, isu calon PAKK yang hadir temuduga seramai 1,000 namun hanya 12 calon diluluskan dan keutamaan calon GIP bagi mengisi jawatan. 

"GIP berharap KPM dapat meneliti isu ini dan membawa perubahan kepada sistem pelantikan supaya lebih telus," katanya.

 

Previous Post Next Post