Gaji tadika swasta rendah, graduan terus berharap penempatan KPM

Imej hiasan

TAWARAN gaji yang rendah di tadika swasta membuatkan graduan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) memilih untuk terus berharap kepada penempatan di bawah Kementerian Pendidikan atau mencari pekerjaan di luar bidang pengajian mereka. 

Namun malangnya, peluang untuk mendapat penempatan kelihatan malap kerana apabila sebahagian besar graduan bidang tersebut gagal dalam temu duga baru-baru ini. 

Memohon pekerjaan di luar bidang juga sukar sehingga ada antara mereka yang terpaksa memohon pekerjaan dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus menerima gaji yang juga rendah. 

Seorang graduan yang mahu dikenali sebagai Amirah berkata, dia kini bekerja di sebuah tadika swasta di Kelantan dengan gaji yang di bawah paras gaji minimum. 

“Gaji permulaan di sini hanya RM700 dan boleh naik lebih sedikit daripada RM1,000. Ada beberapa tadika yang tawar gaji tinggi sedikit sehingga RM1,500. Kebiasaannya itu cawangan tadika yang besar. 

“Mungkin di kawasan bandar tawarannya lebih besar tapi untuk kawasan saya ini, julatnya memang begitu,” kongsinya yang turut membantu ibunya menguruskan perniagaan untuk wang tambahan. 

Begitupun, menurut Amirah, dengan gaji yang ada dia memang tidak dapat menyimpan dengan baik. 

“Saya dapat bertahan pun kerana tinggal dengan keluarga,” katanya. 

Amirah merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) PAKK dari sebuah universiti awam yang telah hampir lima tahun menunggu penempatan. 

Kongsinya, ramai juga rakan-rakannya yang terpaksa bekerja di luar bidang dengan kelayakan SPM untuk menampung kehidupan, termasuk sebagai pekerja kilang, pengawal keselamatan, pekerja pembersihan dan pemandu lori. 

Sementara itu, seorang lagi graduan PAKK yang sudah menunggu 13 tahun untuk penempatan meluahkan rasa kecewanya kerana graduan bidang tersebut tidak diterima untuk mengajar subjek lain walaupun ada kelayakan. 

Dia yang tidak mahu dikenali berkata, graduan bidang tersebut boleh mengajar subjek seperti Pendidikan Khas dan Pemulihan Kanak-Kanak namun masih tidak mendapat peluang. 

“Kami kecewa kerana jika diikutkan, kami mempunyai ikhtisas dan kelayakan tetapi ruang yang ada untuk mengajar anak bangsa sangat sempit. 

“Kami faham bahawa penempatan memang tidak dijamin tetapi kami sangat berharap untuk diberi peluang. PAKK adalah opsyen yang boleh mengajar banyak subjek lain,” jelasnya. 

Sumber – RELEVAN

 

Previous Post Next Post