Buku teks, latihan hanya sumbang 28 peratus masalah beg berat - Timb. Menteri


KUALA LUMPUR: Hanya 28 peratus masalah berat beg sekolah disebabkan buku teks dan latihan manakala selebihnya daripada kandungan lain seperti makanan, minuman, alat tulis dan pakaian.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata hasil kajian kementerian mendapati ada pelajar yang membawa pakaian dan peralatan untuk Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Justeru, katanya, ibu bapa diminta membantu anak masing-masing menyusun buku dan buku berkaitan ke sekolah supaya isu beg sekolah berat ini dapat diatasi.

"Pada masa ini, Kementerian Pendidikan sedang menyusun semula jadual waktu pembelajaran yang mana kita tetapkan hanya tiga hingga empat mata pelajaran sehari bagi memastikan jadual ini tidak membebankan pelajar," katanya menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai tempoh masa yang spesifik untuk melaksanakan penggunaan lokar secara berfasa bagi mengatasi masalah beg berat.

Terdahulu menjawab soalan asal Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai langkah menangani isu bebanan beg sekolah yang berat yang ditanggung pelajar khususnya di sekolah rendah, Hang Soon berkata, kementerian komited mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu beg berat murid yang telah berlarutan sekian lama.

Katanya, kementerian menjalankan tiga kajian utama berkaitan beg berat dan hasilnya pelbagai tindakan bagi menangani isu berkenaan diambil.

"Antaranya, mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/2000: Penggunaan Buku Kerja Di Sekolah Rendah dan Surat Siaran Panduan Menangani Isu Beg Berat Murid di Sekolah pada tahun 2018.

"Namun demikian, perkara itu masih belum dapat ditangani sepenuhnya dan sering menjadi keluhan masyarakat," katanya.

Beliau menjelaskan berdasarkan penelitian ke atas maklum balas yang diperoleh, isu beg berat adalah kritikal dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya murid Tahap 1, iaitu Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3.

"Oleh itu, kementerian kemukakan tujuh langkah iaitu penyediaan Lokar. KPM akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa, penyusunan Semula Jadual Waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

"Bilangan buku latihan tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu-satu masa. Setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat manakala murid hanya dibenarkan menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh kementerian. Buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP)," katanya.

Pada masa sama, katanya, penerbitan baharu buku teks dalam format digital dilaksanakan secara berterusan dan sehingga kini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

Keenam, katanya guru digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.

"Kerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) juga diadakan dari aspek penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan KAFA," katanya.

Beliau berkata, kementerian yakin pendekatan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan murid untuk ke sekolah.

 

Previous Post Next Post