LANGKAWI – Kementerian Pendidikan akan mempercepatkan proses untuk mengisi sebanyak 5,477 kekosongan jawatan guru di seluruh negara.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya masih meneliti beberapa komponen sebelum pengisian jawatan tersebut dilakukan.
“Kita sedang ikhtiarkan bersama dengan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) supaya diisi segera tetapi ada beberapa kesukaran dan komponen yang kita sedang teliti.
“Kita juga sedang usahakan supaya yang mana kita dapat selesaikan dahulu, kita selesaikan dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Penyerahan Peranti Pendidikan Digital AEON Sayap Bagimu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kelibang di sini hari ini.
Beliau memberitahu, sebelum ini terdapat sebanyak 18,702 kekosongan jawatan guru dengan sebanyak 13,225 daripadanya telah diisi sejak Disember tahun lalu.
Sementara itu, kata beliau, pengambilan secara one-off itu memberi tumpuan kepada calon yang mempunyai ikhtisas pendidikan sebelum dibuka kepada calon lain.
Katanya, selepas graduan ikhtisas pendidikan mendapat penempatan, kementerian akan membuka pengambilan kepada graduan yang tiada ikhtisas pendidikan.