Tiga perkara penting untuk laksana semua PdPR


PETALING JAYA: Penggunaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepatutnya bersifat kekal dan diteruskan walaupun program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah selesai daN seterusnya diangkat sebagai agenda utama pendidikan masa depan. 

Perkara itu disuarakan Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad yang turut bependapat, sesi PdPR juga sepatutnya disepadukan secara hibrid bersama dengan pembelajaran bersemuka di dalam bilik darjah. 

Sebab itu, kata beliau, penyediaan akses internet, pembelian komputer dan peranti pembelajaran serta latihan semula para guru dengan kemahiran sibergogi bukanlah satu pelaburan yang merugikan. 

“Selepas lebih setahun para guru, ibu bapa dan murid-murid melalui PdPR, apa yang boleh kita pelajari? Pertama, penyediaan akses internet yang mempunyai kelajuan tinggi mestilah disegerakan di semua kawasan di negara ini. Kemudahan internet tidak lagi boleh dianggap sebagai barang mewah. Akses internet adalah salah satu keperluan sebagaimana jalan raya, bekalan elektrik dan air. 

“Kedua, segerakan pelaksanaan program satu komputer satu murid khususnya untuk pelajar miskin sebagaimana yang disasarkan di dalam gelombang 4 (2020-2025) di dalam dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 kerana tanpa pemilikan peranti, murid-murid ketinggalan di dalam pembelajaran mereka. 

“Ketiga, latih semula para guru untuk menguasai kemahiran pengajaran secara sibergogi dan heutagogi. Amalan pengajaran konvensional, sehala dan berkuliah adalah tidak sesuai untuk PdPR samada secara segerak atau sebaliknya. Kementerian Pendidikan (KPM) juga boleh mewujudkan pasukan pakar pengajar sibergogi untuk menjadi pemudah cara dalam pelaksanaan Latihan Dalam perkhidmatan (LDP) di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Pada 21 April lalu, badan dunia OECD melaporkan di dalam kajian mereka yang bertajuk ‘The State of School Education-One Year Into The COVID Pandemic’ bahawa sepanjang lebih setahun pandemik Covid-19 melanda dunia, lebih 1.5 billion pendidikan kanak-kanak di 188 buah negara di seluruh dunia terkesan. 

Sebahagian kanak-kanak dilaporkan tidak dapat meneruskan sesi persekolahan seperti biasa dan lebih malang, ada sebahagian yang lain terus mengalami keciciran pembelajaran kerana sekolah ditutup dalam jangka masa yang panjang. 

Sepanjang setahun lalu, laporan OECD juga menyebut terdapat empat pendekatan pembelajaran utama digunakan untuk pelaksanaan pembelajaran apabila sekolah ditutup dengan menggunakan kaedah secara dalam talian segerak, secara dalam talian tidak segerak dan menggunakan bahan edaran bercetak dan pendekatan keempat melalui siaran televisyen (TV) dan radio pendidikan. 

Menurut Anuar, kanak-kanak di negara ini juga tidak terkecuali apabila hampir lima juta murid di seluruh negara terkesan akibat sesi persekolahan yang tertunda dan mereka terpaksa melakukan pembelajaran secara PdPR. 

“Walaupun PdPR secara segerak didapati pendekatan pembelajaran yang terbaik, malangnya disebabkan akses internet yang tidak stabil dan menyeluruh di seluruh negara pendekatan ini tidak dapat dilaksanakan secara berkesan. Selain itu pemilikan peranti seperti komputer riba yang masih rendah dalam kalangan murid -murid menyebabkan pendekatan ini walaupun baik dan berkesan, tetapi tidak boleh dilaksanakan. 

“Belajar dari pengalaman PdPR 1.0 dan PdPR 2.0, nampaknya pihak KPM telah memberikan panduan PdPR yang lebih fleksibel dalam pelaksanaan PdPR 3.0. Guru-guru dibenarkan menggunakan kaedah yang sesuai dengan keadaan setempat. Jika akses internet dan pemilikan peranti menjadi kekangan, guru boleh menggunakan kaedah pembelajaran tidak segerak seperti penggunaan rakaman video dan rakaman suara untuk membantu pembelajaran murid-murid,” ujarnya. 

Bagaimanapun katanya, berdasarkan maklum balas, didapati pendekatan melalui TV Pendidikan nampaknya tidak begitu menarik perhatian guru-guru, ibu bapa dan para pelajar kerana penggunaan istilahnya juga sebenarnya kurang tepat. 

Katanya, hal ini berikutan perkara yang disajikan di dalam siaran rancangan tersebut lebih bersifat rancangan kanak-kanak bercirikan ‘edutainment’ dan tidak hanya berfokus sebagai TV Pendidikan yang sebenarnya. 

“Rata-rata guru dan ibu bapa mengharapkan supaya kualiti program TV Pendidikan dapat dipertingkatkan sebagai bahan pembelajaran untuk pelajar yang tidak mempunyai peranti untuk pembelajaran dalam talian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Previous Post Next Post