Kuala Lumpur: Prosedur Operasi Standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuk ke premis akan dimansuhkan bermula Jumaat ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dengan pemansuhan ini, pihak pemilik premis tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod daftar masuk di pintu masuk premis masing-masing.
Bagaimanapun katanya, daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa.
"Walau bagaimanapun sekiranya pemilik-pemilik premis masih ingin meneruskan pelaksanaan SOP pemeriksaan suhu dan buku rekod daftar masuk ini, kerajaan amat mengalu-alukan dan menggalakkannya.
"Kalau baca buku rekod sekarang ini macam-macam conteng mereka buat.
"Ini tidak menggambarkan keadaan sebernarnya. Jadi kita lihat ke hadapan, lebih baik kita tumpukan kepada tujuh tonggak (bagi pendekatan fasa peralihan ke endemik).
"Kalau kita masih lagi berada dalam takuk terdahulu, tetapi pada masa yang sama kita nak lihat ke hadapan dengan pendekatan baru, akhirnya orang akan keliru. Jadi isu buku dan suhu itu tidak menjadi pertimbangan kita lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet Covid-19 di Wisma Pertahanan hari ini.
Menurutnya, perkara itu turut terangkum di dalam tujuh tonggak di dalam perancangan menuju endemik itu yang membabitkan disiplin diri.
"Jika tiada kepatuhan, ia akan menyebabkan jumlah positif naik dan jika ia naik sudah tentu akan membawa kesan kepada hospital dan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU). Akhirnya kita kena perketatkan SOP, tak boleh salahkan kerajaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas mengenai
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perkara itu turut dibincangkan pada mesyuarat berkenaan.
"Sandaran daripada PRN di Sarawak dan Melaka jadi pertimbangan kita apabila membincangkannya tadi. Sedikit sebanyak pandangan daripada pihak berkepentingan kita akan bawak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mereka fikirkan kerana yang putuskan SOP ini adalah SPR, bukan kerajaan.
"Jadi apa yang boleh kita buat adalah memberi pandangan dan tadi kita bincang juga panjang lebar apa input yang kita terima dan kita serah kepada SPR untuk menentukan SOP yang kita perlu gunakan," katanya.