PM jamin tiada 'lockdown' untuk Aidilfitri


TANGKAK: Kerajaan sekali lagi memberi jaminan untuk tidak melaksanakan sebarang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekatan rentas daerah serta negeri dalam usaha mengawal penularan COVID-19, termasuk pada Aidilfitri nanti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya kerajaan hanya akan melaksanakan sekatan secara bersasar bergantung kepada jumlah jangkitan di setiap kawasan.

“Kita sudah tahu betapa sukarnya kehidupan rakyat apabila PKP dilaksanakan yang mana kerajaan sudah membuka semuanya dan membenarkan rakyat kembali berniaga dan sebagainya.

“Begitu juga dengan pergerakan merentas negeri kerana kita tidak akan menyekat lagi pergerakan, cuma pintu sempadan negara sahaja belum dibuka lagi disebabkan kes yang tinggi di luar negara.

“Sesetengah negara juga masih menutup pintu sempadan mereka, tetapi dalam negara kerajaan sudah benarkan sepenuhnya untuk merentas termasuk balik raya (Aidilfitri) nanti. Cuma kita sendiri kena tahu mengawal supaya kes tidak terus merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri program Ramah Mesra bersama Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang yang diadakan secara tertutup di Dewan Putra, Padang Lerek, di sini.

Mengulas lanjut katanya, sekiranya PKP sekali lagi dilaksanakan rakyat hanya akan menerima impak negatif selain sektor ekonomi dan pelancongan akan terjejas teruk atau gulung tikar.

“Kita tidak lagi mahu menjejaskan ekonomi negara meskipun semua menyedari kita terpaksa hidup dengan virus COVID-19 ini.

“Namun saya tidak akan menyekat pergerakan rakyat untuk rentas daerah atau negeri yang mana sebagai contoh, jika jangkitan kes di Kampung Rawang, di Tangkak ini mencatatkan kes tinggi, sekatan hanya akan dilakukan di kawasan kampung dan bukan keseluruhan daerah Tangkak,” jelasnya.

 

Previous Post Next Post