GUA MUSANG: Permintaan terhadap kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri meningkat dengan mendadak menyebabkan berlaku pengurangan bekalan RTK di pasaran.
Keadaan itu berlaku kerana kebimbangan orang ramai terhadap varian Omicron serta pembukaan sektor ekonomi dan pendidikan yang banyak.
Bagaimanapun, Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, bekalan RTK mencukupi ketika ini apabila lebih 18 juta unit masih ada di peringkat pengilang dan pemborong.
Katanya, negeri yang mengalami kekurangan dijangka akan menerima bekalan dalam masa terdekat.
"Lebih kurang lebih 80 syarikat melibatkan 8,084 premis perniagaan di seluruh negara telah diberikan kebenaran oleh KPDNHEP untuk memberikan atau menjual kit ujian pantas ini kepada orang ramai.
"Jadi dalam masa sama juga kita telah menghubungi pengimport dan pengilang tempatan supaya dapat mempertingkatkan pengeluaran dan pengedaran di peringkat masing-masing sebab kami dapati kebimbangan orang ramai terhadap COVID-19 terutamanya varian Omicron ini telah menyebabkan permintaan lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pejabat KPDNHEP cawangan Gua Musang, semalam.
Azman berkata, sebelum ini pengurangan bekalan kit ujian RTK berlaku di beberapa negeri seperti Sabah, Johor dan kawasan Lembah Klang.
Terdapat 116 jenama RTK yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk digunakan orang ramai di negara ini setakat ini.