GEORGE TOWN – Seorang guru dikenal pasti sebagai salah seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menunggang secara berbahaya di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dekat sini yang videonya tular di media sosial sejak semalam.
Sumber berkata, polis sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu selepas pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menerima satu laporan polis kelmarin.
“Video (itu) kali pertama dikesan telah dimuat naik di (laman sosial) Instagram pada 13 Disember 2021 dan suspek yang memuat naik video dikesan berada di Kuala Lumpur.
“Suspek adalah seorang guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur dan dia telah dihubungi,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sumber itu berkata, polis turut mengesahkan kejadian berkenaan berlaku di Jambatan Kedua Pulau Pinang seperti didakwa pengguna media sosial.
Difahamkan, setakat semalam tiada tangkapan dibuat terhadap suspek.
Rakaman video berdurasi kira-kira 45 saat itu tular di media sosial yang memaparkan penunggang dua buah motosikal berwarna merah dan biru melakukan aksi mengangkat tayar hadapan atau wheelie pada kelajuan tinggi.
Manakala sebahagian sedutan video memaparkan panel meter motosikal individu yang membuat rakaman itu yang menunjukkan ia dipecut sehingga kelajuan lebih 280 kilometer sejam (km/j).