Ajar silibus antidadah di sekolah


SHAH ALAM - Pakar Psikologi Kaunseling Rawatan dan Pemulihan Dadah, Dr Azemi Shaari mencadangkan supaya satu silibus pendidikan khusus berkaitan dadah diperkenalkan kepada pelajar sama ada di peringkat sekolah atau universiti.

Ujar beliau, cadangan tersebut bertujuan mengurangkan bilangan penagih baharu di negara ini dan pada masa yang sama memberi rawatan kepada penagih sedia ada.

Katanya, silibus berkenaan juga perlu menerangkan mengenai peranan agensi-agensi penguatkuasaan dalam negara ini termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Ia kena ada satu silibus khusus mengajar tentang bahaya dadah, jenis dadah, kesannya kepada pelajar sama ada di sekolah atau universiti.

“Kita perlu ajar mereka sama seperti pendidikan seksual. Bila kita ajar mereka, kita tidak akan ada penagih baharu sebab mereka faham mengenai (kesan pengambilan) dadah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Isnin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan sebanyak 27,959 kilogram (kg) dadah bernilai RM951.69 juta dirampas pihak berkuasa pada 2021 iaitu meningkat sebanyak 103 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Dr Azemi berkata, kerajaan terutamanya badan penguatkuasaan yang memantau aktiviti pengedaran dadah juga perlu mempertingkat sifat integriti dalam kalangan kakitangan mereka.

Menurutnya, peningkatan hasil rampasan dadah pada tahun lepas akan menyebabkan masyarakat mempersoalkan ketelusan dan kejujuran pihak penguatkuasaan tersebut.

Penagih syabu cenderung jadi agresif

“Masyarakat perlu ada maruah dan integriti. Jika bekerja tanpa ada maruah dan integriti, maka mudah untuk mereka terlibat dengan rasuah.

“Bila ada kenderaan yang masuk dari luar negara tak kira sama ada kapal, lori atau bot, mereka ambil sambil lewa dan biar kenderaan itu terlepas.

“Kita mungkin senang tetapi kesan kerosakan itu menjangkau sehingga luar negara sebab mungkin barang yang dibawa (kenderaan) itu adalah benda yang salah (dadah),” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Akmal Abdul Halim berkata, semua pihak perlu memainkan peranan penting membanteras penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan anak muda.

Disebabkan itu kata beliau, AMK Selangor mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai program bagi mendekati anak muda.

“Menjadi tanggungjawab bersama untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti berguna kepada anak muda bagi menghindar mereka terdedah dengan aktiviti tidak bermoral,” katanya.

 

Previous Post Next Post