Kota Marudu: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di kawasan yang terbabit dengan banjir di Sabah diarah membuat laporan segera mengenai keadaan sekolah di kawasan masing-masing menjelang pembukaan sesi persekolahan yang bermula Isnin depan.
Ketika mengeluarkan arahan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, ada sekolah yang terjejas akibat banjir memerlukan masa untuk dipulihkan dan mungkin tidak cukup bersedia bagi pembukaan sekolah.
Sehubungan itu, katanya PPD, guru besar dan pengetua di setiap sekolah yang terjejas perlu segera menilai tahap persediaan masing-masing supaya Kementerian Pendidikan dapat membantu perkara yang perlu untuk membolehkan sesi persekolahan dilaksanakan.
"Hari ini (semalam) saya berada di Kota Marudu dan Pitas, manakala semalam (kelmarin) di Telupid dan Tongod untuk melihat sejauh mana kesiapsiagaan sekolah sama ada sudah bersedia untuk dibuka pada 10 Januari ini.
"Tapi kita dimaklumkan di daerah Telupid saja ada beberapa sekolah digenangi air. Di Kota Marudu, Alhamdulillah semuanya sudah surut tapi di Pitas masih ada tiga sekolah digenangi air dan laluan tidak dapat dimasuki kenderaan kecil.
"Jadi saya melihat keadaan ini amat penting kerana sesi persekolahan akan bermula 10 Januari ini dan kita minta kepada PPD daerah Pitas, Kota Marudu dan Telupid untuk melihat sejauh mana kesiapsiagaan kita," katanya selepas meninjau sekolah terjejas banjir di Kota Marudu dan Pitas, semalam.
Mohamad berkata, jika cuaca buruk masih berterusan, Kementerian Pendidikan menyediakan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) berkaitan langkah awal yang perlu dibuat oleh guru besar, pengetua dan pentadbir sekolah apabila berhadapan dengan banjir.
Katanya, garis panduan yang ditetapkan itu mesti dipatuhi supaya pihak kementerian dapat membantu menyelesaikan segera masalah yang boleh menjejaskan sesi persekolahan.
Sembilan daerah di pantai timur dan utara Sabah dilaporkan terjejas akibat banjir sejak akhir minggu lalu iaitu Kota Marudu, Pitas, daerah kecil Paitan, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Telupid, Ranau dan Lahad Datu.
Daerah Kota Marudu paling terjejas dengan lebih 2,600 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga petang semalam, diikuti Pitas dengan lebih 300 mangsa dan Telupid lebih 200 mangsa.