BUTTERWORTH: Segala memori yang pernah dilakar Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption selama hampir sembilan dekad akan lenyap apabila institusi itu bakal ditutup berkuat kuasa 28 Februari ini.
Astro AWANI difahamkan, penutupan sekolah yang diasaskan mubaligh pada 1933 dibuat berikutan pemilik tanah sekolah berkenaan meminta dikembalikan semula secepat mungkin.
Sehubungan itu, jurucakap Pasukan Petugas Bersama, Save Assumption School, Vernon Fernandez dalam satu kenyataan memohon Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang meluluskan segera pendaftaran Lembaga Pengelola sementara dalam usaha menyelamatkan sekolah itu
Lembaga Pengelola yang terdiri daripada wakil Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG), Persatuan Alumni Assumption Butterworth dan pemilik tanah telah dibentuk sebagai platform untuk mencari jalan penyelesaian isu berkenaan.
Dalam masa sama, Pengerusi PIBG Sk Assumption, Amin Baqy ketika dihubungi berkata, mereka kini menunggu keputusan pemilik tanah dalam tempoh 14 hari.
Buat masa ini pihaknya berharap sesi persekolahan yang menempatkan kira-kira 55 pelajar lelaki itu dapat berjalan seperti biasa.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di sekolah berkenaan mendapati, keterujaan pelajar-pelajar SK Assumption pada hari pertama persekolahan hari ini mungkin tidak sama dengan pelajar di sekolah lain.
Dalam kegembiraan memulakan sesi persekolah hari ini, pasti tersirat rasa sedih apabila sekolah yang telah beroperasi hampir 90 tahun di Butterworth itu bakal ditutup bulan depan.
Seorang ibu, Emi Saufiah Ahmad Malkan berkata, anaknya Muhammad Ammar Haziq Muhd Afiq, 8, sangat teruja untuk memulakan sesi persekolahan hari ini setelah bercuti panjang.
Namun, kegembiraan Muhammad Ammar Haziq tidak lama sebaik mendengar berita penutupan sekolah yang sudah berusia 90 tahun itu.
SK Assumption, kata Emi Saufiah, menyimpan nostalgia yang sangat sentimental kerana di situlah dia dan adik beradik lain belajar mengenal huruf.
“Rasa sedih sebab sekolah ini sudah lama (wujud), hampir 90 tahun kalau tidak silap,” ujar Emi Saufiah.
Sebagai ibu, Emi Saufiah amat berharap perbincangan bersama pihak-pihak berkenaan dapat dibuat agar agar sekolah itu dapat terus beroperasi.
Bagi Marziani Mahathir pula, walaupun sedih mendengar berita itu, namun, semua pihak, katanya, harus akur apabila terpaksa berbuat demikian.
Bagaimanapun, Marziani masih berharap agar ada jalan penyelesaian berhubung keputusan penutupan sekolah berkenaan.
“Dengar kata (anak-anak) kena pindah sekolah, sedihlah sebab semua dah biasa di sini, tapi kalau dah terpaksa (pindah) nak buat macam mana, kena ikut sajalah,” luah Marziani yang juga seorang surirumah.