KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang terkesan akibat banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) hanya akan dibuka semula setelah ia sedia untuk beroperasi.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan terdapat 18 sekolah masih dinaiki air, 87 dijadikan PPS serta lapan yang pulih banjir namun masih belum bersedia untuk beroperasi buat masa ini.
"KPM akan terus memantau dan mengemas kini pada setiap hari Rabu senarai institusi pendidikan yang dilanda banjir atau yang dijadikan sebagai PPS.
"Perubahan senarai yang dikeluarkan oleh KPM adalah tertakluk kepada situasi semasa bencana banjir," menurut kenyataan itu.
Senarai itu boleh diakses melalui laman sesawang KPM di https://www.moe.gov.my/.
Menurut KPM, pengoperasian institusi pendidikan yang telah selesai dibersihkan dan bersedia untuk kembali beroperasi akan bermula pada hari Ahad atau Isnin minggu persekolahan berikutnya.
Institusi pendidikan bawah KPM merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru serta terpakai kepada sekolah swasta yang berdaftar di bawah KPM.
Tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 3 2021/2022 adalah pada 9 Jan bagi negeri Kumpulan A manakala 10 Jan bagi negeri Kumpulan B.
- BERNAMA