Salah guna kuasa: Guru besar dijel tiga bulan, didenda


KUANTAN - Seorang guru besar dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan untuk mendapat suapan, lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan Khairul Azizi Ab Aziz, 55, membayar denda RM20,000 atau 12 bulan penjara, jika gagal berbuat demikian.

Hukuman itu diarahkan oleh mahkamah selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah dalam prosiding yang berlangsung pada Selasa. 

Khairul Azizi yang sebelum ini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Cherating di sini, mengaku telah menggunakan jawatannya sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum untuk mendapatkan suapan dengan membuat satu tindakan dan mencadangkan kepada guru besar supaya melantik syarikat Sueazizi Enterprise.

Lantikan itu dibuat oleh pihak pengurus sekolah terbabit dalam perihal kerja bayaran peruntukan latihan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) perahu layar yang melibatkan baucer bayaran berjumlah RM1,200 bagi pertuduhan pertama manakala bayaran sebanyak RM700 bagi pertuduhan kedua dan pemilik syarikat terbabit adalah isterinya. 

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan, di SK Cherating pada 19 Mac 2014 dan 15 Disember 2014.

Khirul Azizi yang kini sudah memegang jawatan guru besar telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tidak lebih tempoh 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi. 
Previous Post Next Post