Perjuangan sekolah satu aliran sepatutnya bermula dengan tadika

PETALING JAYA: Perjuangan untuk membentuk sebuah sistem sekolah satu aliran di negara ini seharusnya bermula dengan tadika satu aliran. 


Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, tadika satu aliran diyakini dapat menyatupadukan semua kaum di Malaysia. 

“Sebelum berjuang nak wujudkan sekolah satu aliran, mengapa tak perjuangkan dulu tadika satu aliran? 

“Kan elok bila anak-anak kita yang berumur empat hingga enam tahun dari kalangan Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan dan yang lain bermain, belajar dan beraktiviti bersama,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya. 

Beliau turut mempersoal bagaimana sistem persekolahan untuk kanak-kanak di bawah usia enam tahun berada dalam keadaan tidak seragam. 

“Di Malaysia, untuk anak-anak berumur kurang empat tahun, kita ada taska. Bagi empat hingga enam tahun pula, kita ada tadika dan tabika. 

“Ada Tabika Perpaduan, Tadika Kemas, Tadika Kementerian Pendidikan, Tadika Pasti, Permata dan tadika swasta, di bawah kementerian yang berbeza-beza,” katanya. 

Mengikut Statistik Kanak-Kanak 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, taska berdaftar yang tersedia meningkat 8.1 peratus kepada 5,302 taska pada 2020 berbanding 4,903 taska pada 2019 bagi memenuhi keperluan penduduk. 

Selangor kekal mencatatkan bilangan taska berdaftar tertinggi iaitu 1,774 taska dengan peningkatan 16.1 peratus berbanding 2019. Ini diikuti Kuala Lumpur (525 taska) dan Perak (413 taska). – UTUSAN ONLINE
Previous Post Next Post