Perak giat anjur program tangani isu guru stres


IPOH: Kebiasaannya, tumpuan diberikan kepada para pelajar yang menghadapi masalah meneruskan sesi pembelajaran ketika pandemik COVID-19.

Namun kadangkala masyarakat terlepas pandang atau kurang peka dengan stres yang dihadapi para guru ketika menjalankan tugas.

Malah difahamkan, ada sesetengah daripada mereka yang mengambil keputusan untuk bersara awal, susulan isu stres dan tidak mampu menghadapi bebanan kerja. 

Menerusi kesedaran itu, Kerajaan Negeri Perak kini giat menjalankan pelbagai program dan webinar khusus untuk memberi motivasi dan mengurangkan stres dalam kalangan pendidik.

Perkara itu diakui Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud yang menyifatkan peranan dan tugas guru kini kian mencabar. 

"Ada juga cadangan bagaimana untuk kita memberikan motivasi kepada guru-guru yang sedang alami stres dalam proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

"Sebelum ini kita berdepan dengan pelajar secara fizikal, tetapi diubah kepada PdPR, dan bila pelajar dan guru sudah boleh menyesuaikan diri dengan cara itu tiba-tiba sekarang patah balik kepada asal (fizikal)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Dengar & Dialog Bersama Warga Pendidik di Dewan Kuliah Sri Bintang, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Ipoh pada Isnin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir bagi merasmikan program tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Saidi berkata, antara program yang dijalankan sebelum ini untuk menangani isu itu adalah sesi kaunseling dan kelas motivasi secara maya serta fizikal.

"Sepanjang sesi libat urus itu, kita minta pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri menyediakan senarai nama guru yang mereka fikir perlu untuk diberi motivasi.

"Maksudnya mungkin ada guru yang rasa sedikit 'down' atau penat. Perkara ini kita sudah perhalusi dan cuba bantu dengan beberapa siri webinar yang dilaksanakan.

"Diharapkan inisiatif ini dapat membantu, kerana ada guru yang mungkin lima atau enam tahun nak pencen tetapi mengambil jalan mudah untuk pencen lebih awal, kita rasa rugi kerana hilang kepakaran guru-guru ini," katanya lagi.

Tambahnya lagi, sesi dialog bersama warga pendidik hari ini penting bagi mereka meluahkan masalah dan isu yang ada demi kebaikan semua.

Terdahulu, beberapa orang guru tampil memberi cadangan serta idea yang berkaitan dengan sistem pendidikan, termasuk isu stres dan bebanan kerja yang dihadapi mereka seakan-akan tidak diberi perhatian.

Salah seorang guru yang hadir di program itu turut berharap agar kebajikan mereka terbela dan diberi perhatian sewajarnya.

 

Previous Post Next Post