KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) diharap dapat menangani masalah sebenar yang membawa kepada punca berlakunya obesiti dalam kalangan murid-murid sekolah.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, ia termasuk isu kemiskinan dan pemakanan tidak seimbang yang mungkin menyumbang kepada isu kesihatan itu.
Bagaimanapun, Aminuddin berkata NUTP menyambut baik cadangan KPM melaksanakan pemeriksaan indeks jisim badan (BMI) terhadap murid sekolah berusia lima hingga sembilan tahun bagi menangani masalah obesiti di negara ini.
"Mungkin kita mengharap dalam program ini nanti akan adanya satu rekod yang akan akhirnya mampu mengurangkan masalah obesiti.
"Maksudnya bukan sekadar program tetapi akan diadakan program khidmat bantu oleh pihak KPM kepada sekolah, sama ada dalam bentuk tenaga atau bantuan kewangan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Selasa.
Memetik laporan media, pelaksanaan BMI 5-9T akan bermula pada hari pertama kalendar akademik 2022/2023 dan dilakukan dua kali setahun.
KPM mewajibkan program itu dijalankan bermula di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah milik kerajaan dan tadika swasta.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata pihaknya menyedari bahawa punca obesiti dalam kalangan murid-murid, bukan semata-mata disebabkan faktor makanan.
Pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut, termasuk program Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK), yang diperkenalkan pada 2008.
"Kita tahu apabila berlakunya masalah obesiti dengan kadar begitu besar dalam kalangan murid-murid, ia akan memberikan pelbagai implikasi sama ada kepada murid itu sendiri atau dari segi proses pembelajaran mereka di sekolah.
"Namun, obesiti juga ada faktor-faktor lain mungkin kerana emosi, tekanan perasaan atau kebosanan di rumah dan kadang-kadang ada berkait dengan punca yang menyebabkan mereka memakan makanan yang tidak seimbang," tambahnya.
Ditanya mengenai kebenaran murid-murid untuk melaksanakan ujian saringan kendiri COVID-19 di rumah pula, Amiruddin berkata ia satu keputusan yang rasional memandangkan ia dapat mengurangkan beban tugas para guru.
"Dengan keputusan baharu ini, kita mengharapkan guru-guru akan lebih dapat memfokuskan kepada tugas hakiki mereka untuk membuat program pemulihan kepada murid-murid yang sememang sudah ketinggalan dalam pelajaran mereka.
"Ini disebabkan oleh permasalahan-permasalahan yang dihadapi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dan cikgu mahu meneruskan fokus kepada pengajaran dan pembelajaran," ujarnya.