KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyelesaikan segera isu situasi Guru Interim Bahasa Inggeris (BI) ambilan 2019 yang dilaporkan tamat kontrak pada 21 April ini.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata adalah amat mengecewakan jika benar guru interim ditamatkan kontrak memandangkan masing-masing mempunyai kelayakan dengan pengalaman mengajar yang hampir tiga tahun.
"Walaupun kita tahu bahawa kerajaan ada sebab yang tertentu, tetapi hal ini perlu diberikan keutamaan untuk diselesaikan.
"Memandangkan mereka mempunyai kelayakan dan pengalaman hampir tiga tahun sebagai guru di sekolah, maka pihak NUTP amat berharap agar isi ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya kepada BH hari ini.
Beliau mengulas ciapan di Twitter oleh seorang Guru Interim Bahasa Inggeris yang memohon penjelasan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkenaan isu penamatan kontrak Guru Interim Bahasa Inggeris DC41 ambilan 2019 pada 21 April ini.
Di dalam ciapan itu, turut mendakwa pihak Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) sedang berusaha Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk urusan temuduga dan lantikan sebelum 22 April ini.
Guru berkenaan meminta jasa baik BPSM jika dapat meluluskan penyambungan kontrak enam hingga 12 bulan sementara isu temuduga dan lantikan tetap diselesaikan.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, dengan jumlah guru yang bersara awal 'kelihatan' agak besar ketika ini, maka penyerapan guru interim itu sebagai guru tetap DG41 adalah satu langkah tepat dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan pendidikan negara dapat diteruskan.
Sementara itu, KPM memaklumkan bahawa perkara itu sedang diusahakan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian.